Pegawai Daerah Petaling Jaya, Dato Johary Anuar menyerahkan kotak makanan kepada penghuni Flat Lembah Subang ketika mengadakan Program SMARD Outreach dan Omnipresence Perdana di Flat Lembah Subang, Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 NOVEMBER 2021.

PETALING JAYA – Tiga tingkat teratas Blok A, Flat Lembah Subang di sini yang lama tidak berpenghuni dikesan menjadi sarang kepada penagih dadah.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, bagi menangani perkara itu, pihaknya akan mengambil langkah bagi menanganinya bersama Jabatan Perumahan Negara dalam masa terdekat.

“Ya, memang rumah-rumah tidak berpenghuni itu kosong dan tidak dihuni orang, maka kira mereka (penagih dadah) ceroboh,” ujarnya ketika ditemui selepas Program Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) ke rumah-rumah di kawasan perumahan Flat Lembah Subang malam tadi.

Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut disertai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Menurut Johary, pihaknya mahu agensi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengambil isu rumah-rumah kosong seperti ini dapat dibaiki segera supaya tempat tinggal disini lebih kondusif mengelak daripada dijadikan tempat penyalahgunaan dadah.

Beliau yang juga Pengerusi SMARD Petaling berkata, kawasan Lembah Subang di sini merupakan lokasi panas  kedua yang dikenal pasti AADK selepas Desa Mentari sebagai sarang penagihan dadah di daerah itu.

Menyedari situasi berkenaan, pihaknya mengadakan program outreach iaitu menyantuni beberapa penduduk terpilih sekitar lebih kurang 145 kediaman untuk mendapatkan profiling kawasan tempat tinggal itu.

“Langkah profiling itu dilaksanakan bagi menentukan kawasan tempat tinggal yang mungkin terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah.

“Jadi, bagi tujuan itu, kita telah memilih kawasan perumahan Lembah Subang ini sebab ini adalah hotspot sarang penyalahgunaan dadah dan usaha ini dijalankan di bawah SMARD.

“Justeru itu, sepanjang tahun 2021 iaitu dari awal Januari sehingga 10 November ini, kita telah mengenalpasti seramai 31 orang yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di perumahan ini dan tangkapan terakhir adalah berjumlah 18 orang semasa operasi SMARD dari 5 hingga 7 November lalu.

Pegawai Daerah Petaling Jaya, Dato Johary Anuar (tengah) bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (kiri)dan ADUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar (kanan) menampal poster perangi dadah ketika mengadakan Program SMARD Outreach dan Omnipresence Perdana di Flat Lembah Subang, Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 NOVEMBER 2021.

“Selain itu, pihak PDRM juga telah mengadakan serbuan Operasi Jihad Dadah dan hasilnya seramai 158 orang yang disyaki menyalahgunakan dadah telah ditangkap dan disebabkan itu kita mengadakan program omni presence iini secara berterusan di kawasan perumahan,” katanya.

SMARD telah dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai aspirasi memastikan Selangor Sejahtera Tanpa Dadah dengan tumpuan diberikan kepada dua kawasan berisiko tinggi iaitu Mukim Petaling membabitkan Flat Desa Mentari dan Mukim Damansara melibatkan PPR Lembah Subang.

Ia merupakan inisiatif murni dan kerjasama bersepadu semua pihak terutamanya AADK dan PDRM selain Jabatan Sukarelawan (RELA) dalam mengembalikan keharmonian di kawasan perumahan sebagai kawasan penempatan yang bebas daripada sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

 

Pegawai Daerah Petaling Jaya, Dato Johary Anuar (tengah) bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid bercakap pada media ketika mengadakan Program SMARD Outreach dan Omnipresence Perdana di Flat Lembah Subang, Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 NOVEMBER 2021.

Dalam pada itu Mohamad Fakhrudin pula menjelaskan tangkapan seramai 158 orang penagih dan penyalahgunaan dadah itu membabitkan majoritinya lelaki dan tangkapan dilaksanakan dalam operasi bermula  5 hingga 18 November lalu.

Ujar beliau, mereka merupakan pengedar yang memiliki dan menagih dadah di perumahan tersebut yang berusia lingkungan antara 20 hingga 59 tahun dan terdapat sebilangan kecil penagih wanita.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid bercakap pada media ketika mengadakan Program SMARD Outreach dan Omnipresence Perdana di Flat Lembah Subang, Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 NOVEMBER 2021.

“Dari segi kerjasama penduduk, selepas operasi itu selesai dilaksanakan, kita telah melantik segera ahli jawatankuasa Jihad Dadah yang terdiri daripada penduduk perumahan ini sendiri iaitu lapan orang yang akan berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa.- MalaysiaGazette