Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat penerbangan di negara ini diminta untuk menyemak semula harga tambang tiket penerbangan yang dianggap tidak masuk akal.

Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga tiket yang terlalu mahal dibimbangi akan mempengaruhi atau menjadi halangan buat anak perantauan untuk pulang mengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 pada 18 Disember ini.

“Saya gunakan peluang ini untuk merayu kepada syarikat penerbangan tidak kira sama ada Malaysia Airlines, Air Asia atau Malindo tolonglah kurangkan harga tambang (kapal terbang).

“Supaya mereka (syarikat penerbangan) dapat melihat kepada masalah ini. Saya merayu bukan untuk rakyat Sarawak sahaja kerana kita tahu ramai lagi orang lain yang perlu untuk berulang-alik dari Semenanjung Malaysia ke sana,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan cawangan ke-2000 kedai 99 Speedmart di Puncak Sentul di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Alexander berkata, PBB akan mengetengahkan antara 10 hingga 20 peratus calon muka baharu bagi mewakili parti tersebut dalam PRN Sarawak.

Ujar beliau, sudah menjadi tradisi bagi parti berkenaan untuk memperkenalkan muka baharu untuk menggantikan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) terdahulu pada setiap pilihan raya.

“Boleh dikatakan pada setiap pilihan raya pada masa sebelum ini kita sentiasa perkenalkan muka baharu bagi menggantikan mereka yang sudah lama dan ada juga mereka (penyandang DUN) dengan rela hati hendak mengundurkan diri.

“Kita akan bawa lingkungan 10 hingga 20 peratus muka baharu daripada keseluruhan DUN (ditandingi) PBB),” ujarnya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menerusi sidang media khas menetapkan PRN Sarawak ke-12 diadakan pada 18 Disember depan manakala tarikh penamaan calon pula pada 6 Disember dan pengundian awal diadakan pada 14 Disember. – MalaysiaGazette