Hishammuddin Hussein Omicron new Covid-19 variant endemic phase
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan sentiasa mengkaji kriteria keselamatan persekitaran termasuk di semua landasan terbang termasuk laluan berlepas dan mendarat.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semua landasan terbang di pangkalan TUDM juga mengikut standard piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Kata beliau, ia diaudit secara berkala oleh pihak Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM) dan TUDM sendiri.

“Walaupun berada dalam kepadatan penduduk yang tinggi selagi ia menepati piawaian, tiada keperluan untuk pihak MINDEF dan ATM untuk memindahkan atau membuat keputusan drastik kedudukan pangkalan kem-kem TUDM sedia ada.

“Tambahan pula, bagi semua operasi penerbangan pesawat TUDM, ia tertakluk mengikut standard prosedur dan piawaian keselamatan penerbangan yang amat ketat dengan tahap pematuhan yang tinggi sebelum sesuatu misi penerbangan dibenarkan untuk dilaksanakan,” katanya di Parlimen pagi ini.

Hishammuddin menyatakan, antara pematuhan itu ialah prosedur piawaian anak kapal seperti aspek latihan, kemahiran dan kompetensi, prosedur kejuruteraan yang merangkumi aspek penyelengaraan dan kelayakan terbang bedasarkan Standard Aviation Authority dalam negara dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Original Equipment Manufacturer (OEM).

Kata beliau, semua itu adalah SOP bagi operasi penerbangan pesawat, di samping piawaian ketat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa bagi pengkalan TUDM.

“InsyaAllah, MINDEF dan ATM akan berusaha untuk menambahbaik SOP dan langkah-langkah keselamatan sedia ada demi memastikan keselamatan anggota dapat dipertingkatkan.

Terdahulu, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy TUDM yang telah terkorban dalam nahas pesawat Hawk pada 16 November lalu di Pangkalan Udara Butterworth.

“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham. Al-Fatihah. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam golongan orang yang soleh disisi-Nya.

“Begitu juga kepada Mejar Mohd Fareez Omar TUDM yang tercedera dalam nahas berkenaan, semoga Allah memberikan kesembuhan segera kepada beliau dan seterusnya dapat kembali semula untuk bertugas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast