Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim. Foto FAREEZ FADZIL, 21 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka amat bermakna di setiap peringkat sama ada di pusat, negeri mahu pun akar umbi.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim berkata, kemenangan BN itu merupakan satu ujian agar semua terus berpadu, bersetia dan bersama.

“Kemenangan ini adalah hasil gerak kerja semua pihak, bukan ‘one men show’. Setiap pemimpin sama ada bergelar menteri atau bukan, setiap seorang jentera akar umbi semuanya berpadu demi rakyat, demi kemenangan BN, demi kerajaan yang lebih stabil,” katanya menerusi laman Facebook, di sini, hari ini.

Tambah Norshida, kemenangan itu menyuntik semangat berkobar-kobar dan luar biasa kepada jentera BN untuk berjuang dan berkerja demi kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Ia juga menggarap keyakinan BN untuk mengadakan PRU-15 dalam tempoh terdekat demi sebuah kerajaan yang lebih stabil.

“Ini adalah masa untuk kita semua saling menyokong, saling menguatkan dan saling berpadu. Bukan masanya saling mencari kurang dan saling mencari salah. Pihak yang kalah, yang hilang begitu banyak kerusi tidak gempita mencari salah pemimpin atau sengaja melakukan provokasi sesama mereka.

“Kita boleh sangat gembira, tapi usah mendabik dada, usah leka dan paling utama hindari sengketa,” katanya. – MalaysiaGazette