Foto Instagram Aishah.

KUALA LUMPUR – Mengakui sudah tiga bulan tidak tinggal sebumbung, penyanyi Aishah mengakui perkahwinan keempat yang dibinanya sejak lima tahun lalu kini di ambang perceraian.

Pelantun lagu Janji Manismu itu bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci tentang punca pergolakan hubungan dengan suami yang dikahwininya pada 2017 itu.

Kata Aishah, 56, mereka sebenarnya sudah berpisah ‘secara tidak rasmi’ apabila tidak lagi tinggal bersama namun sedang menunggu lafaz talak daripada suaminya.

“Benar, kami sudah berpisah. Cuma talak belum dilafazkan. Kami sudah tinggal berasingan sejak tiga bulan lalu.

“Tiada siapa berkahwin untuk bercerai. Saya juga mengimpikan perkahwinan keempat ini kekal hingga ke akhir hayat. Jadi, usah ditanya apa punca perpisahan ini,” ujarnya yang enggan menuding jari kepada sesiapa atas perpisahan yang berlaku.

Tambah juara program Gegar Vaganza musim keempat itu lagi, dia tidak niat untuk mengaibkan mana-mana pihak apabila berkongsi tentang keruntuhan rumah tangganya melainkan demi mengelakkan timbulnya fitnah pada kemudian hari.

“Saya memang memberi sedikit bayangan menerusi perkongsian dalam Instagram. Mana yang tahu, tahulah. Saya tidak mahu fitnah timbul jika ada yang melihat saya bersama lelaki lain dalam urusan kerja.

“Siapa tak sedih melihat rumah tangga berantakan. Tetapi saya akur dengan ketentuan Tuhan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Pada 2017, Aishah memaklumkan dia sudah kembali berumahtangga selepas enam tahun bercerai dengan suami ketiganya, Faizal Sazali Zulkifli yang dikahwininya pada 2010.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkahwinan keempatnya itu.

Menerusi perkahwinan pertama, penyanyi itu dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Armand Azhari, 28, sementara Azhad Ahlami, 23, hasil perkahwinan kedua.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast