Harga sayur-sayuran meningkat. Gambar hiasan

MELAKA – Harga jualan sayur-sayuran di Melaka dikesan meningkat sehingga 50 peratus di semua rangkaian pasar raya, pasar dan kedai runcit ekoran beberapa faktor termasuk cuaca sejuk melampau serta kenaikan kos pengangkutan yang dialami oleh negara pengeluar.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar berkata, keadaan itu menyebabkan bekalan sayur-sayuran import berkurangan sehingga 60 peratus sekali gus menyaksikan kenaikan harga bagi sayur seperti brokoli, cili merah, sawi serta kubis.

Beliau berkata, kenaikan harga di pasar raya juga adalah ekoran kenaikan di peringkat pembekal.

“Ini kerana selain import, 80 peratus bekalan sayur di negeri ini diperoleh daripada pembekal dari negeri lain seperti Selangor, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

“Pembukaan semua sektor perdagangan sejak Oktober lepas secara tidak langsung turut menyebabkan permintaan terhadap bekalan sayur-sayuran meningkat dengan mendadak yang turut menjadi faktor lain kenaikan harga,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Norena berkata, secara keseluruhan bekalan sayur-sayuran di Melaka adalah mencukupi.

Beliau berkata, walaupun setakat ini tiada aduan berkaitan kenaikan harga sayur-sayuran di Melaka, pemantauan tetap dijalankan di semua peringkat bagi memastikan bekalan mencukupi dan ia dijual pada harga berpatutan.

Norena juga berkata, berlaku kekurangan bekalan minyak masak peket di pasaran negeri itu kerana terdapat pemborong dan peniaga runcit gagal memperbaharui lesen menjual sekali gus menyebabkan pengedarannya terganggu.

“Kita akan mengadakan mesyuarat bersama semua pemegang lesen minyak masak di negeri ini pada minggu depan bagi memastikan gangguan dapat diselesaikan dan pengguna dapat membeli minyak masak peket bersubsidi di pasaran.

”Justeru, KPDNHEP Melaka mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini dan pemantauan sentiasa dilakukan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan lanjut dan atau aduan boleh disalurkan ke Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345 869 yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 6 petang dan aplikasi WhatsApp (019-279 4317). – MalaysiaGazette