Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif menurunkan harga barang makanan yang naik mendadak secara mengejut kebelakangan ini.

Harga barang makanan mentah atau basah seperti sayur, telur, ayam dan ikan naik melebihi 100 peratus, harga minyak dan banyak lagi bahan mentah lain yang turut naik menambah beban rakyat yang lama terhimpit kesan pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, sudahlah kuasa beli rakyat semakin lemah akibat kemerosotan ekonomi sejak ‘Langkah Sheraton’, kenaikan harga harga ini umpama meletak garam ke luka mereka.

Kata beliau, kenaikan itu antara lain dikaitkan dengan kenaikan harga bahan input pertanian seperti racun dan baja.

“Justeru, kerajaan digesa menambah subsidi kepada bahan bakar dan memberikan insentif khas menampung kos pengangkutan yang menjadi antara punca kos meningkat.

“Kerajaan perlu serius menangani masalah di peringkat rantaian bekalan supaya kos di peringkat ini terkawal dan seterusnya membendung sebarang kenaikan harga barang di pasaran.

“Selain itu, kerajaan perlu memberikan subsidi kepada industri input pertanian ini bagi menampung kos yang ditanggungnya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menyatakan, dengan bantuan itu, kerajaan boleh perkenalkan harga siling bagi bahan mentah makanan popular seperti sayur, ayam dan telur.

Pada masa sama, kata Faiz, sokongan daripada pemain industri input pertanian dan makanan akan diperolehi dengan pemberian subsidi supaya margin keuntungan mereka tidak terjejas.

Katanya, kerajaan juga di peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) mempunyai kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mengawal harga barang dan mengambil tindakan undang-undang ke atas individu atau syarikat yang menaikkan harga barang secara melampau.

“Pegawai KPDNHEP perlu turun padang secara lebih aktif untuk memeriksa harga jualan barang makanan terutama barang basah dan mengeluarkan kompaun serta mengambil tindakan undang-undang secara ketat terhadap pemborong dan penjual yang menaikkan harga secara melampau.

“Di samping itu, akta ini juga perlu segera dipinda bagi memberikan kuasa yang lebih kepada kerajaan mengambil langkah lebih berkesan mengawal harga barang.

“Jika dalam mengawal isu keselamatan negara, kerajaan boleh mengubal dan meminda pelbagai undang-undang seperti SOSMA, POTA dan Akta MKN, kenapa dalam isu harga barang, kerajaan sepi tanpa tindakan, sedangkan isu ini melibatkan masalah kehidupan rakyat yang tulen,” katanya. – MalaysiaGazette