Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media mengenai mengenai Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2020 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 26 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan sempadan susulan kemunculan varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529 dengan tidak membenarkan warganegara ini melawat ke beberapa negara Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Keputusan ini berkuatkuasa esok.

Selain itu, sekatan sementara kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut dibenarkan memasuki negara namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, selain itu sampel akan diambil dari individu yang tiba dari negaranegara tersebut untuk survelan genomik.

”KKM mengambil maklum berkaitan laporan berita mengenai varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529. Setakat ini tiga buah negara telah melaporkan kes berkaitan varian baharu ini iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (4 kes) dan Hong Kong (2 kes).

”Kes pertama dilaporkan di negara Botswana pada 11 November 2021, manakala negara Afrika Selatan pada 14 November 2021 dan Hong Kong pada 25 November 2021. Kes yang dilaporkan di Hong Kong mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut laporan, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi spike protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian delta.

Sehingga kini belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529 ini.

”Untuk makluman buat masa ini, WHO masih lagi membuat pemantauan yang rapi mengenai perkembangan yang berkaitan pelaporan varian baharu
B.1.1.529 yang dikategorikan oleh varian di bawah pemantauan (VOM).

Khairy berkata, KKM memandang serius dengan kewujudan varian baharu ini dan akan mempertingkatkan survelan genomik termasuk ke atas individu yang tiba
dari negara yang melaporkan varian baharu ini.

Pemantauan berterusan bagi survelan genomik dijalankan oleh konsortium yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Institut Penyelidikan Perubatan
(IMR), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Berdasarkan survelan genomik yang dijalankan sehingga 26 November 2021, tiada virus Covid-19 varian baharu B.1.1.529 yang dilaporkan di Malaysia. – MalaysiaGazette