Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) mendatangani piagam kerjasama antara UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pas boleh kembali bersama Muafakat Nasional (MN) jika merasakan gabungan bersama UMNO mampu memberi impak kepada parti itu.

Penganalisis politik dan geostrategis, Azmi Hassan berpendapat, perkara itu perlu  dilakukan segera oleh Pas namun harus memastikan gerakan itu nanti mampu menjaga air muka pemimpin utama parti berkenaan.

“Bagaimana nak elakkan perumpamaan ‘sudah ludah jilat semula’, adalah dengan gerakan daripada Pas sendiri.

“Perumpamaan itu jelas bersandarkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

“Beliau menyatakan Perikatan Nasional (PN) sebuah gabungan berdaftar yang mempunyai gagasan besar, tetapi telah kalah hampir keseluruhan kerusi,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Penganalisis Politik dan Geostrategis, Azmi Hassan.

Beliau berkata, jika Pas kembali bersama MN, parti itu juga boleh bertindak dengan membawa masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama-sama.

“Pas boleh meletakkan syarat yang mana Pas bersama-sama PPBM mentyertai semula, cumanya ia harus dimulakan oleh Pas terlebih dahulu.

“Di dalam MN, Pas dan UMNO akan jadi ‘abang besar’ dan PPBM perlu akur menjadi ‘adik kecil’ dalam gabungan tersebut.

“Tambahan, PPBM harus akur dengan mengembalikan 16 kerusi PPBM kepada UMNO.

“Namun, saya percaya UMNO pastinya akan berlapang dada untuk hanya mengambil sebahagian sahaja kerusi PPBM itu,” jelasnya.

Tambah Azmi lagi, melihat kepada perjuangan ketiga-tiga parti menghadapi Pilihan Raya Umum kali ke-15 (PRU15), kebersamaan parti ini mampu menggugat pihak lawan.

“UMNO atau Barisan Nasional (BN) tidak boleh hanya bersandar kepada data pada PRN baru-baru ini.

“Undi popular yang hanya lima ke enam peritus itu tidak menjamin BN mampu bergerak secara solo. BN perlukan rakan seperti Pas yang memegang Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Presiden PAS, Tan Seri Abdul Hadi Awang (kanan) melambaikan tangan kepada penyokong UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 SEPTEMBER 2019

“Kerana itu saya katakan Pas boleh bersama MN kerana faktor tiga negeri dan boleh membawa PPBM bersama-sama ke dalam MN,” jelasnya.

Dalam pada itu, jika kepimpinan utama Pas masih berdegil untuk terus bersama Perikatan Nasional, ia dilihat hanya akan melonggarkan lagi logik percaturan politik parti itu.

“Saya melihat, ia hanya lebih kepada mahu menjadi air muka kepimpinan utama dan bukannya survival parti.

“Sejauh mana PN mampu bertahan dengan Gerakan, PPBM dan Pas serta beberapa parti kecil Sabah itu andai mahu ia diteruskan?

“Kekalahan di PRN Melaka sudah menunjukkan PN sudah tidak relevan dan MN adalah langkah terbaik buat Pas dan sekali lagi saya tegaskan perlu ada gerakan dalaman parti itu yang mulakan dahulu.

“PPBM tidak membantu Pas. Buktinya pada PRN Melaka. Ada suara akar umbi yang tidak bersetuju dengan langkah awal Pas bersama PN. Tidak hanya akar umbi di Melaka malah beberapa negeri lagi termasuk Terengganu dan Kelantan.

“Jika Pas masih memikirkan soal air muka, agak sukar untuk Pas nanti,” katanya lagi.

Memetik juga kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini bahawa parti itu bersikap terbuka untuk menerima kembali Pas walaupun pada awalnya salam dihulur tidak disambut.

“Terpulang kepada Pas. Abdul Hadi juga dalam ucapannya pada 20 November lalu juga ada menyebut  seperti ada ‘angin-angin’ untuk kembali Bersama MN.

“Pas perlu berlapang dada dan jika BN tanpa Pas juga tiada jaminan mereka akan menang pada PRU15 nanti.

“Kuncinya ada pada Pas. Cara mana Pas harus lakukan adalah memastikan tidak akan tersilap langkah lagi,” tambahnya.

Menerusi laporan Malaysia Gazette sebelum menerusi kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga jelas menyatakan MN belum mati dan PRN Melaka hanyalah pertandingan persahabatan jelas menunjukkan sikap terbuka parti itu untuk terus Bersama Pas.

Akhirnya, Pas sendiri harus mencatur gerakan dalaman untuk mencari jalan menyatukan kembali parti itu dan UMNO seterusnya membawa PPBM ke dalam MN. -MalaysiaGazette