Tan Sri Muhyiddin Yassin

PAGOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan pihaknya tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Sebaliknya  parti itu  akan membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri itu pada 18 Disember nanti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Presiden Bersatu,  perkara itu telah diputuskan ketika perbincangan bersama Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden GPS,Tan Sri Abang Johari Abang Openg

“Kita sudah ada perbincangan dengan Abang Johari beberapa hari sebelum pengumuman PRN Sarawak dibuat. Kita bincang di peringkat parti, yang kita tidak akan bertanding di PRN Sarawak. Kita dah buat keputusan.

“Yang penting  kita nak tentukan parti di Sarawak menang dengan cemerlang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di sini hari ini.

GPS  semalam mengumumkan akan bertanding di semua 82 kawasan DUN Sarawak pada PRN kali ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, langkah Bersatu tidak bertanding di PRN Sarawak itu bagi menghormati pandangan dan permintaan GPS supaya mereka diberi laluan pada pilihan raya berkenaan.

“Kita hormati pandangan GPS. Apa yang pasti, kita yakin GPS ada kekuatan. Atas dasar itu, ahli kita di sana akan membantu supaya GPS capai kemenangan lebih besar pada PRN Sarawak,” katanya

Bagaimanapun, katanya, Bersatu dan PN  mungkin akan bertanding di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Cuma pada PRN-15 nanti, GPS ada menyatakan mungkin ada pertimbangan lain. Bermakna parti yang lain akan bersama-sama GPS ketika PRU-15 nanti termasuk PN,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast