SHAH ALAM – Sebut sahaja nama Murad Zaidi, pasti ramai yang kenal.

Yang pernah dan sedang menggunakan perkhidmatannya termasuklah golongan kerabat raja,  kenamaan, selebriti termasuk pelajar yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda.

Walaupun umur belum lagi mencecah 34, Murad yang merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif gimnasium Exclusive Fitness dan ‘Badcave’ yang terletak di stadium Shah Alam 12 tahun lepas.

Ketika ditemuramah MalaysiaGazette, anak muda itu dengan penuh teruja dan tenang bercerita tentang minat mendalam dalam dunia kecergasan yang akhirnya juga telah memberinya peluang untuk bergelar usahawan.

“Sebenarnya saya ini agak ‘unik dan pelik’ kerana saya tidak pernah suka sesuatu yang senang didapati atau satu kehidupan yang langsung tidak ada cabarannya. Terus terang saya katakan, saya datang dari sebuah keluarga yang miliki semuanya. Saya tidak pernah kenal apa itu susah.

“Ibu bapa telah memberikan kami lima adik beradik satu kehidupan penuh kesenangan, pendidikan yang  baik di Amerika Syarikat (AS), kami sekeluarga telah berhijrah ke negara itu sejak umur saya lima tahun lagi. Namun sejak kecil sehinggalah sekarang, saya sukakan cabaran, apa yang dapat dengan mudah, saya tidak gemar sebenarnya.

“Malah ketika saya berumur 19 tahun, saya sudah bekerja di Wall Street, ketika umur itu lagi saya sudah mula nampak duit yang banyak. Namun minat pada sukan dan seni mempertahankan diri sentiasa membuatkan saya explore, saya sertai MMA kemudian berhijrah pula Thailand untuk belajar Muay Thai,” katanya.

Dari hidup moden dan seronok, saya tinggal pula di Thailand, pakai seluar pendek, selipar, tempat tinggal serba kekurangan, tidak pula patahkan semangat sebaliknya kegilaan untuk mempelajari seni Muay Thai dan kemudian sertai pertandingan serta menang memang sesuatu yang sukar dilupakan.

“Saya pernah bergelar jutawan pada usia muda kemudian apabila krisis ekonomi turut memberikan impak besar kepada saya namun saya sentiasa bangkit semula, saya tahu apakah itu perasaan apabila jatuh menjunam, bila langsung tiada duit, bila kalah. Semua itu satu cabaran dan life lesson dalam kehidupan saya,” katanya membuka bicara di gimnasiumnya di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Kata Murad, selepas memenangi hadiah wang tunai yang dimenanginya, Murad yang berasal dari Taiping namun bermaustatin di AS kemudian pulang untuk beberapa hari bagi tujuan visa serta dokumen selain melawat tempat kelahirannya 12 tahun lepas.

Bagaimanapun, ketika beliau melihat Stadium Shah Alam, terus terdetik dalam hati beliau untuk membuka sahaja sebuah gimnasium dan pusat kecergasan bagi melatih masyarakat di sini daripada kembali ke AS atau negara lain.

Pengasas dan CEO Exclusive Fitness, Murad Zaidi

“Begitulah cerita bagaimana saya kembali ke Malaysia 12 tahun lepas, buka gimnasium laburkan semua wang saya untuk tempat ini, ini bukanlah tempat saya mencari rezeki atau wang sahaja sebaliknya inilah diri sebenar saya. Apa yang telah saya pelajari ini ingin saya kongsikan kepada semua.

“Tahukah anda, 12 tahun lepas saya mendapat tahu Malaysia adalah antara negara paling tinggi obesitinya? Tahukah anda, ianya masih lagi sama. Itu juga antara semangat dan inspirasi saya iaitu membawa perubahan kepada setiap yang mencari saya. Sinilah tempatnya, untuk setiap yang mencari penyelesaian.

“Kadang-kadang orang kata motivasi dan kata-kata semangat sudah cukup untuk ubah diri, kebenarannya ada displin diri. Jika anda mahu berjaya, jika anda mahu ubah diri anda, semuanya bermula bukan sahaja dari minda yang cergas tetapi sebenarnya displin diri, jika itu yang anda mahu anda mampu mencapainya tidak kira apa jua,” ujarnya.

Murad juga berkongsi bagaimana dirinya juga tidak terlepas daripada bahana Covid-19 namun dengan cepat keluar daripadanya.

“Memang pada awalnya kenalan serta pelanggan saya terkejut apabila kena Covid-19 kerana saya adalah antara manusia yang amat pentingkan kesihatan diri tapi apakan daya jika penyakit itu jenis merebak dan menular.

“Namun semangat juang serta displin dalam diri saya telah buat saya lawan, tidak ada yang mustahil jika berjuang, gimnasium ini juga adalah medan perang buat saya dan sesiapa yang kenali saya. Alhamdulilah, Kita berperang dan berjuang jika mahu yang terbaik,” ujarnya.

Murad menambah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan, gimnasium juga terpaksa ditutup namun dia guna platform media sosial dan teknologi semaksimum yang boleh bagi semua pelanggan.

”Kita sediakan program maya seperti pada setiap hari yang dapat memberi faedah kepada orang ramai, kami juga membuat sesi soal jawab meluangkan masa untuk soalan  terutamanya mengenai kesihatan mental dan fizikal.

“Matlamat kami adalah untuk memberi kebebasan kepada semua orang, untuk benar-benar sihat, kuat dan cergas tidak semestinya perlu menghabiskan jumlah wang yang banyak. Ingatlah sesuatu, kita boleh jadi cergas, sihat malah kuat walau di mana kita berada.

“Jangan jadikan alasan pandemik untuk jatuhkan semangat anda sebaliknya gunakan ianya sebagai pemangkin semangat, fikir di luar kotak dan pastinya kejayaan yang anda akan dapat melalui usaha anda sendiri,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast