ADUN Pengkalan Batu, Kalsom Nordin

KUALA LUMPUR – Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin sebagai Exco kerajaan Melaka bukti wanita dihargai pucuk pimpinan UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, Kalsom yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya yang telah menunjukkan kegigihan yang luar biasa ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

“Semangat juang yang jelas, bertenaga dan menampilkan keberanian serta sumbangan wanita bagi memastikan masyarakat di seluruh negeri Melaka mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kalsom di dilantik Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Melaka baru-baru ini.

Menurut Norliza, Kalsom atau dikenali Kak Som adalah ikonik yang boleh ditampilkan sebagai orang politik yang sangat setia selepas berkecimpung lebih 30 tahun lalu selain generasi kepimpinan Wanita yang muda, segar dengan idea dan pembaharuan.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada barisan exco yang diketuai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ucapan yang sama juga kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga ADUN Tanjung Bidara mengetuai portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri dan kesemua ahli Exco yang lain.- MalaysiaGazette