Penunggang motosikal tercedera selepas merempuh kereta polis semasa dikejar selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan. -Gambar Ihsan IPD Ampang

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penunggang motosikal cuba melarikan diri daripada ditahan menerima akibatnya apabila tercedera selepas melanggar kereta peronda polis.

Insiden itu berlaku dalam pemeriksaan polis di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kampung Pasir, Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semas kejadian sekitar pukul 11.40 malam, anggota polis yang memandu kereta peronda jenis Proton di Taman Melawati terserempak dengan seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam keadaan mencurigakan.

“Pemandu kereta peronda polis menyalakan lampu sebagai tanda amaran dan mengarahkan penunggang motosikal itu berhenti.

“Bagaimanapun lelaki tersebut enggan memberi kerjasama dan melarikan diri dengan memecut laju dalam keadaan berbahaya secara zig zag.

“Polis terus mengekori lelaki itu sejauh 500 meter sebelum dia mengubah haluan secara tiba-tiba dan terus melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta peronda,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, akibat pelanggaran itu, lelaki tersebut terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan di bahagian muka serta kepala.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Hasil semakan lanjut mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau kesalahan berkaitan kes dadah,” kata Mohamad Farouk.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast