Selain mencetuskan kebimbangan, perkembangan baru itu juga menyebabkan pasaran saham dan harga minyak menjunam sekali gus berpotensi memberi tamparan hebat kepada pemulihan ekonomi global.- Gambar hiasan.

GENEVA – Semalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah  mengisytiharkan strain baharu Covid-19, B.1.1.529 sebagai varian membimbangkan (VOC) yang dinamakan semula sebagai Omicron.

Omicron yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan, baru-baru ini, dalam kategori varian Covid-19 paling membimbangkan bersama-sama Delta, Alpha, Beta dan Gamma.

Pendedahan itu juga telah mencetuskan kebimbangan dunia sehingga pelbagai daripada mereka mula menyekat penerbangan bagi mengekang Omicron merebak ke negara masing-masing.

WHO memaklumkan, pihaknya dijangka mengambil masa selama beberapa minggu untuk menyiapkan kajian terhadap Omicron.

Selain mencetuskan kebimbangan, perkembangan baru itu juga menyebabkan pasaran saham dan harga minyak menjunam sekali gus berpotensi memberi tamparan hebat kepada pemulihan ekonomi global.

Pada Rabu lepas varian itu telah dilaporkan buat pertama kali kepada WHO dari Afrika Selatan.

Jangkitan pertama varian Omicron yang disahkan adalah daripada satu spesimen dikumpulkan pada 9 November lalu.

Dalam tempoh beberapa minggu lalu, jangkitan di Afrika Selatan meningkat secara mendadak, bertepatan dengan pengesanan itu.

“Varian itu mempunyai sejumlah besar mutasi di mana sesetengahnya adalah membimbangkan. Bukti yang kita ada juga menunjukkan peningkatan risiko jangkitan semula dengan varian berbanding yang lain.

“Bilangan jangkitan Omicron didapati meningkat di hampir kesemua wilayah di Afrika Selatan,” katanya dalam kenyataan.

Selain Afrika Selatan, setakat ini, Omicron juga dilaporkan dikesan di Israel membabitkan seorang individu yang tiba dari Malawi; Botswana, Belgium dan Hong Kong. – Agensi