Seorang lelaki warga asing telah maut dilanggar lori kontena dalam satu kemalangan jalan raya di Pelabuhan Klang dekat sini petang tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing telah maut dilanggar lori kontena dalam satu kemalangan jalan raya di Pelabuhan Klang dekat sini petang tadi.

Kejadian berlaku berhampiran Jambatan Sultan Sulaiman di Persimpangan lampu Isyarat Pelabuhan Utara menghala ke Tanjung Harapan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kemalangan itu pukul 4.52 petang.

“Sejurus tiba di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis EX5 yang ditunggang seorang lelaki warga Pakistan telah digilis sebuah lori kontena,” Katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norazam, mangsa berusia 36 tahun itu tersepit di bawah tayar lori tersebut.

“Pasukan perubatan kesihatan yang turut bergegas ke lokasi telah memeriksa mangsa yang telah mengalami kecederaan parah dan tersepit di celah tayar tersebut sebelum mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa dijalankan menggunakan peralatan khas oleh anggota bomba dan penyelamat.

“Pada pukul 5.49 petang tadi bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-MalaysiaGazette