Beg pakaian yang mencetuskan kebimbangan orang ramai.

KUALA LUMPUR – Beg pakaian ditinggalkan di tepi tong sampah berhampiran sebuah kedai basikal di Jalan Telawi, Bangsar semalam disangka berisi bom adalah beg kosong.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, hasil pemeriksaan dilaksanakan oleh Unit Pengesan Bom IPK Kuala Lumpur serta Unit K9 PDRM mendapati tiada sebarang bom ditemui dalam beg tersebut.

Menurutnya, polis menerima maklumat orang awam kira-kira jam 4.15 petang mengenai satu beg pakaian dalam keadaan sempurna di lokasi itu.

Tambah beliau, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan imej kaki suspek memakai seluar pendek dan separuh badan.

“Suspek juga telah meletakkan sebuah beg bagasi di lokasi sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau meminta saksi awam di tempat kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan individu yang mungkin terlibat dalam insiden tersebut diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan.

Dalam kenyataan itu, Amihizam menasihatkan orang awam supaya tidak panik apabila menemukan sebarang objek dalam keadaan yang meragukan. – MalaysiaGazette