Adham Baba The President of Malaysian Consultative Council for Islamic Organization (MAPIM), Mohd Azmi Bin Abdul Hamid. PIX: IQBAL BASRI / MalaysiaGazette / 01 SEPTEMBER 2018 double standard ministers quarantine Muhammad Sajjad Nur Sajat Islam Muslim
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu melakukan semakan dasar dan mendidik rakyat untuk menolak perbuatan meminum arak serta aktiviti perjudian.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal ekoran masih ramai orang Melayu Islam yang dilihat terlibat dengan kedua-dua aktiviti itu.

Katanya, semua pihak dalam kalangan pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pendidik perlu memainkan peranan dalam membanteras gejala yang boleh meruntuhkan moral dan akhlak tersebut.

“Kami tidak menerima alasan bahawa industri arak dan judi menyumbang kepada ekonomi negara.

“Berita mengatakan pelaburan arak dan judi akan menjadi muram dan akan terjejas di negara ini seolah-olah menunjukkan industri tersebut perlu dikekalkan.

“Mereka beralasan ramai akan terjejas pekerjaan . Namun ini tidak dapat diterima kerana terlalu banyak industri yang jauh lebih membina kesejahteraan rakyat boleh ditawarkan sebagai pelaburan alternatif.,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Mohd Azmi mendakwa, pihaknya mendapati berlaku gejala berjudi dan meminum arak di daerah Kerian, Perak yang perlu ditangani dengan bersungguh supaya daerah itu bersih dari perlakuan berkenaan.

Justeru kata beliau, pihaknya mengistiharkan Kempen Selamatkan Keluarga Malaysia dari Arak dan Judi (SAJI) di daerah berkenaan.

“Kami mengharapkan penduduk daerah Kerian memantau gejala arak dan judi supaya dapat diambil tindakan oleh pihak berkuasa berdasarkan undang-undang yang ada,” tegasnya. – MalaysiaGazette