R. Vidyananthan
ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor bercadang menaik taraf fasiliti dan infrastruktur Hospital Tangkak  dalam masa terdekat ini bagi mengurangkan kesesakan sekali gus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di daerah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan (BN-Kahang) berkata, penambaikan ini juga memastikan setiap hospital di semua daerah mempunyai standard tersendiri.
Mohd Khuzzan
“Saya sudah melawat Hospital Tangkak dan saya setuju bahawa fasiliti dan infrastruktur hospital itu sudah ‘outdated’ berbanding hospital di daerah lain kerana Hospital Tangkak adalah hospital lama serta perlu dibuat sesuatu (naik taraf).
“Ketika dibina hospital itu, Tangkak belum jadi daerah, kini Tangkak sudah jadi sebuah daerah. Kita percaya bahawa setiap hospital di daerah mestilah ada ‘class’nya tersendiri, Tangkak juga merupakan daerah yang tersendiri,” katanya pada hari terakhir Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ee Chin Li (PH-Tangkak) yang ingin tahu sama ada Hospital Tangkak akan dinaik taraf atau tidak memandangkan hospital itu kini menjadi hospital kluster, namun hanya mempunya jumlah katil sebanyak 69 buah sahaja.
Vidyananthan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) setiap tahun sentiasa mempunyai cadangan menaik taraf setiap hospital terutamanya di daerah di negeri ini dan beliau percaya Hospital Tangkak turut disenaraikan dalam usaha pembangunan dan penaiktarafan hospital di seluruh Johor.
Daerah Tangkak adalah daerah ke-10 yang diwujudkan di Johor kerana persempadanan semula daerah Muar. Ia diwartakan sebagai daerah pada 29 Mac, 2007 dan dirasmikan pada 9 Jun 2008 oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Berkuatkuasa 1 Januari 2016 selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bersidang pada 9 Sept 2015 dan melalui perkenan Sultan Ibrahim, nama daerah Ledang telah ditukar kepada daerah Tangkak.
Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan Mohd Khuzzan Abu Bakar (PH-Semerah), Vidyananthan berkata sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi pembaikan 44 Klinik Kesihatan dan Klinik Desa bagi tahun 2022.
“JKNJ telah memohon peruntukan sebanyak RM10.1 juta kepada pihak Kementerian Kesihatan bagi tujuan pembaikan fasiliti,” katanya sambil menambah semua peralatan Klinik Kesihatan dan Klinik Desa diselenggara secara berjadual di bawah kontrak perjanjian konsesi sehingga tahun 2027.
Mohd Khuzzan ingin tahu mengenai perancangan kerajaan negeri bagi memastikan fasiliti bangunan dan peralatan di klinik kesihatan dan poliklinik serta klinik desa sentiasa berada dalam keadaan yang memuaskan dan selamat. -MalaysiaGazette