JOHOR BAHRU- Kerajaan diminta melakukan tindakan proaktif memantau secara berterusan harga barangan serta perkhidmatan di pasaran yang melonjak kebelakangan ini.
Ini kerana, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerima banyak rungutan orang ramai mengenai kenaikan melampau yang membebankan rakyat hari ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Ribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, berdasarkan pemantauan dilakukan, terdapat barang keperluan asas dan bahan mentah berlaku kenaikan harga tidak munasabah.
Kenaikan harga barang dilihat begitu ketara, terutama pada musim perayaan selain hasil laut kerana musim tengkujuh.
“Golongan yang terkesan teruk berikutan kenaikan harga barang ini adalah mereka yang berpendapatan rendah khususnya kelompok B40, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penjaja, malah ia meningkatkan kos sara hidup.
“Justeru,PPBM menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, untuk mengambil tindakan proaktif dengan meneliti dan memantau secara berterusan harga barangan serta perkhidmatan di pasaran.
“Kerajaan juga perlu mengkaji mekanisme kawalan dan tindakan bagi menangani isu ini.
“Selain mengambil langkah-langkah intervensi yang dapat menjadi solusi kepada isu kenaikan harga barang, kerajaan wajar memastikan tidak berlakunya sebarang kegiatan tidak beretika terutama mereka yang dengan sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga barang jualan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Harga barangan makanan terutama ayam, telur dan sayuran yang meningkat mendadak kebelakangan ini menjadi rungutan masyarakat yang mahu kerajaan mengambil langkah menanganinya.
Sementara itu, Dr Sahruddin yang juga Setiausaha PPBMJohor berkata, parti itu turut menerima keluhan daripada pemborong dan peniaga yang bergelut untuk menetapkan harga jualan kepada pengguna.
Oleh itu, katanya, pemantauan menyeluruh dan tindakan penguatkuasaan perlu ditingkatkan dari masa ke masa.
“Kerajaan dicadang untuk melaksanakan sesi libat urus secara berkala dengan pemegang taruh yang dilihat amat signifikan dalam mencari solusi yang tuntas dan efektif.
“Konsep Keluarga Malaysia seharusnya menjadikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri lebih cakna dan prihatin dengan cabaran kenaikan harga barang yang dihadapi oleh rakyat pada masa kini sekali gus tegas menangani isu ini dengan lebih berkesan,” katanya.- MalaysiaGazette