Prof. Dr. Charles S Vairappan (kanan) menerima Anugerah Kepujian Menteri Luar Jepun daripada Kako Shiho.

KUALA LUMPUR –  Penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Charles S Vairappan menerima Anugerah Kepujian Menteri Luar Jepun dalam majlis ringkas di pejabat Konsul Jepun di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Anugerah tersebut diberikan atas usaha secara berterusan beliau dalam mempromosikan
pendidikan dan penyelidikan di antara Malaysia dan Jepun mendapat pengiktirafan Kerajaan Jepun apabila beliau dikurniakan Anugerah Kepujian Menteri Luar Jepun.
Anugerah disampaikan oleh Konsular, Pejabat Konsul Jepun di Sabah, Kako Shiho.

Duta Jepun ke Malaysia dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Kedutaan Jepun di Malaysia menjelaskan, Profesor Dr Charles yang merupakan ahli akademik di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS telah melakukan usaha berterusan dalam membuka ruang kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan di antara
Jepun dan Malaysia sepanjang kerjaya akademik beliau.

“Beliau juga pernah terlibat dalam aktiviti penyelidikan bersama dengan institusi penyelidikan Jepun melalui projek Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS) serta Third Country Training Programme (TCTP) yang melibatkan aktiviti latihan mengenai pemuliharaan biodiversiti di Sabah.

“Dengan pencapaian ini Dr. Charles merupakan contoh terbaik terhadap kejayaan
pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur yang akan menyambut ulang tahunnya ke-40 tahun
depan,” menurut UMS dalam kenyataannya.

Pihak Kedutaan Jepun turut mengharapkan sumbangan berterusan Dr. Charles dalam
mengukuhkan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dalam
satu ucapan ringkas ketika menghadiri majlis pengurniaan tersebut berkata,
penganugerahan tersebut memberi makna yang sangat istimewa kepada UMS.

Katanya, UMS telah terlibat dalam pelbagai aktiviti pemuliharaan yang disokong oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) sejak 20 tahun lalu.

“JICA menyokong pelbagai aktiviti UMS bersama penyelidik Jepun melalui Program Borneo
Biodiversity and Ecosystems Conservation (BBEC) dari tahun 2002 hingga 2012, kemudian diikuti dengan Sustainable Development of Biodiversity and Ecosystem Conservation (SDBEC) dari 2013 hingga 2017.

“UMS juga amat berbangga kerana menjadi satu-satunya institusi pengajian tinggi di
Malaysia yang dipilih sebagai institusi latihan dalam bidang pemuliharaan oleh Wisma Putra dan JICA melalui program TCTP,” katanya. – MalaysiaGazette