KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis  bagi membantu siasatan berkaitan satu insiden kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk milik lelaki tersebut selepas kejadian itu tular di media sosial.

Kejadian dilaporkan berlaku pada hari ini jam sekitar 1.33 tengahari  di Kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang menuju ke arah Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, wanita yang memandu kereta jenis BMW telah terlanggar belakang kereta jenis Proton Gen 2 yang dipandu suspek.

“Perlanggaran yang tidak dijangka itu menyebabkan kereta lelaki itu pula terlanggar sebuah lagi kereta jenis Honda HRV yang dipandu seorang wanita di hadapannya.

“Namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan ketiga-tiga individu itu termasuk lelaki (suspek) tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah beliau, polis juga berjaya mengesan sebuah video ringkas tentang insiden itu yang tular di media sosial sejak petang tadi.

Video berkenaan menunjukkan suspek turun dari kenderaannya dan merampas beg tangan pemilik BMW sambil kad pengenalannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan diminta menghubungi Pen. Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Sjn Hafizi bin Hashim ditalian 013-9557042.

“Pihak JSJ IPD Shah Alam telah membuka satu kertas siasatan bersabit dengan isu ini dan siasatan menjurus di bawah Seksyen 379/323 Kanun Keseksaan.

“Untuk makluman pasukan kami akhirnya berjaya melakukan tangkapan ke atas lelaki tempatan (pemandu Gen 2) berkenaan yang berusia 56 tahun itu untuk tindakan siasatan lanjut dalam insiden kemalangan itu.

“Suspek ditahan di IPD Shah Alam sekitar jam 6.30 petang tadi ketika tampil untuk membuat laporan polis tentang kemalangan itu,” katanya.

Dalam video berdurasi seminit 29 saat itu menunjukkan suspek bertindak turun dari kenderaan dan terus memarahi wanita mangsa serta merampas beg tangan hitam dan mencampak ke dalam kereta miliknya.

Lelaki berkenaan juga meminta wanita itu menyerahkan MyKadnya.

Wanita itu yang terkejut dengan perbuatan pemandu Gen2 itu memintanya memulangkan beg tangannya namun rayuan itu tidak dihiraukan suspek.

Seorang lagi pemandu wanita yang turut terlibat dalam insiden berkenaan turut terkilan dengan tindakan suspek dan mengajaknya membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

Tanpa mengendahkan kedua-dua wanita itu lelaki berkenaan terus masuk ke dalam keretanya.

Seorang lagi lelaki disyaki rakannya berjaket biru dan bertopi baseball turut masuk di tempat duduk belakang kereta suspek.-MalaysiaGazette