Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengisytiharkan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali sebagai Pro-Canselor UKM yang baharu.

BANGI – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu, berkuat kuasa 7 Oktober 2021 bagi tempoh tiga tahun sehingga 6 Oktober 2024, menggantikan Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia pada 28 Ogos yang lepas.

Pengisytiharan pelantikan itu disempurnakan oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Sidang Canselor yang berlangsung semalam.

Ibarat sirih pulang ke gagang, Tan Sri Mohd Zuki merupakan alumni Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM pada tahun 1985 dan beliau adalah alumni pertama yang dilantik sebagai Pro Canselor.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ts Dr. Mohd. Ekhwan Toriman percaya pelantikan ini mampu menyumbang dan membawa UKM untuk mencapai kemajuan akademik dan pengurusan organisasi yang lebih cemerlang.

Anak jati Kuala Terengganu tersebut juga berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura dan Massachusset Institute of Technology (MIT), USA pada tahun 1999.

Merupakan seorang akauntan cukai di awal kariernya, Mohd Zuki meneruskan kerjayanya sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Kewangan.

Sepanjang 29 tahun sebagai penjawat awam, beliau telah berkhidmat di pelbagai Kementerian dan Jabatan dengan menggalas beberapa jawatan penting antaranya di Kementerian Pendidikan (Penolong Setiausaha), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Pegawai Khas YB Menteri), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri), dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri).

Hasil kesungguhan dan kecemerlangannya dalam perkhidmatan, beliau telah diberi kepercayaan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette