Ismail Sabri Yaakob

JOHOR BAHRU – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini dilihat lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka berbanding bahasa kebangsaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berharap bahasa Melayu digunakan dalam semua acara atau majlis yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Katanya, rakyat di negara ini menjadi tunggak utama untuk memastikan bahasa Melayu terus berkembang.

“Ketika ini, sudah menjadi kebiasaan untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dalam program swasta, malah GLC dan agensi kerajaan.

“Mesyuarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris. Penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini menjadi lumrah dengan tidak juga menggunakan bahasa Melayu.

“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat bahasa Melayu melainkan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian sama berucap ketika merasmikan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021, di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, malam ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Naib Canselor UTM, Datuk Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Seramai 78 peserta dari 36 negara menyertai PABM 2021 melalui tiga kategori dipertandingkan iaitu Pelajar Antarabangsa, Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa yang telah menetap di Malaysia.

Ismail Sabri berkata, kerajaan komited memastikan dasar digubal selama ini membantu usaha memartabatkan bahasa Melayu.

“Kita mahu mengulangi sejarah kegemilangan bahasa Melayu, dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa abad ke-21.

“Untuk itu, kerajaan sangat menggalakkan pelaksanaan program dan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan yang dapat menyemarakkan lagi roh kecintaan terhadap bahasa Melayu.-MalaysiaGazette