KEPALA BATAS –  Pengusaha restoran yang menjual hidangan kailan ikan masin berharga RM18 mendakwa mungkin berlaku salah faham pekerjanya ketika menyediakan tempahan pelanggan tersebut.

Penjelasan itu dibuat pengusaha tersebut dengan memuat naik satu di laman Facebook Anjung Ikan Bakar Nory hari ini.

Menurut peniaga itu, dua kemungkinan berlaku iaitu mungkin juruwang di restorannya tersilap masukkan harga hidangan saiz besar atau tukang masak tersilap sediakan hidangan itu untuk saiz kecil.

“Kesilapan kami mungkin juruwang tersilap ‘key in’ harga hidangan saiz L (besar) atau mungkin pelanggan memesan saiz L, tetapi kru bahagian dapur sediakan kailan ikan masin itu dalam saiz S (kecil) berdasarkan gambar yang tular.

“Jika pihak kami silap, boleh datang terus bertemu kami untuk menyelesaikan isu ini dan bukan ditularkan,” katanya. 

Tambahnya, pihaknya berharap penjelasan tersebut dapat menyelesaikan isu berkenaan selain memohon kerjasama pelanggan (pengadu) untuk menghubungi mereka. 

Dalam kenyataan sama, pengusaha restoran itu turut memberi penjelasan mengenai harga masakan kailan ikan masin mengikut saiz iaitu S berharga RM6, M (RM12) dan L (RM18) dengan memaparkan gambar menu restorannya.

Viral! Kailan ikan masin RM18 di P.Pinang

MalaysiaGazette semalam melaporkan, selepas kecoh dengan kisah seorang individu menularkan bil sotong goreng RM100 di sebuah restoran nasi kandar di sini, terbaharu tampil pula, seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa dengan bil hidangan kailan ikan masin tidak munasabah di sebuah restoran di Kepala Batas.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik di Facebook PenangKini menunjukkan harga hidangan sayur kailan ikan masin di sebuah restoran berharga RM18. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast