Gambar tular menunjukkan harga hidangan kailan ikan masin berharga RM18 di sebuah restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Selepas kecoh dengan kisah seorang individu menularkan bil sotong goreng RM100 di sebuah restoran nasi kandar di sini, terbaharu tampil pula, seorang pelanggan  meluahkan rasa kecewa dengan bil hidangan kailan ikan masin tidak munasabah di sebuah restoran di Kepala Batas.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik di Facebook PenangKini menunjukkan harga hidangan sayur kailan ikan masin di sebuah restoran berharga RM18.

Posting itu dimuat naik kira-kira sejam lalu dengan kapsyen ‘kailan ikan masin yang sikit boleh makan untuk seorang saja berharga RM18’ serta ‘aduan pelanggan di sebuah restoran di Kepala Batas’.

Bagaimanapun, nama restoran itu tidak dimasukkan dalam perkongsian tersebut.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berkata, pihaknya akan melakukan siasatan berhubung isu tersebut termasuk mengenal pasti restoran berkenaan.

“Kita juga harap pelanggan tersebut tampil membuat aduan agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya menerusi mesej di aplikasi WhatsApp hari ini. – MalaysiaGazette