Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim

GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menaik taraf beberapa aset miliknya terutama teknologi persenjataan dan kelengkapan logistik.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ia termasuk menyediakan kenderaan baharu untuk melicinkan tugas dan perkhidmatan polis kepada masyarakat.

“Antara kenderaan baharu yang telah diterima pasukan itu ialah 400 unit Toyota Hilux GS Cargo dan 240 unit van Go Auto Higer Ace.

“Polis Selangor menerima 35 daripada unit Toyota Hilux GS Cargo pada 26 Julai lalu, tiga daripada kenderaan itu pula telah diberikan kepada Balai polis Rawang, Selayang dan Gombak untuk memperkasakan lagi tugas mereka di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed.

Selain itu, menurut Mazlan, jenayah indeks di daerah Gombak mencatatkan penurunan sebanyak 2,100 kes pada tahun 2020 berbanding sebanyak 2,500 pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, dalam tempoh awal Januari hingga 23 November tahun ini sebanyak 1,726 kes jenayah direkodkan di daerah tersebut.

“Ini menunjukkan trend penurunan mendadak daripada 2,100 kes kepada 1,726 kes tahun ini yang mana ini satu perkembangan baik menunjukkan komitmen polis daerah ini dalam memastikan kadar jenayah menurun dan menjamin kesejahteraan masyarakat setempat.

“Kita berharap trend penurunan ini akan berterusan pada tahun  akan datang untuk terus menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Mazlan berbangga dengan pencapaian polis Gombak dalam mengurangkan jenayah di daerah tersebut.

Katanya, tahap kesungguhan dan komiten jitu yang dipamerkan setiap pegawai dan anggota perlu ditauladani bagi meningkatkan kerjasama masyarakat dalam memelihara ketenteraman dan kesejahteraan setempat.

“Peningkatan populasi, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di daerah berkenaan secara tidak langsung memberi kesan di Gombak dari segi ketenteraman dan keselamatan awam.

“Malahan, faktor itu menyokong kepada pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak yang merupakan sebahagian daripada pelan keselamatan strategik pasukan polis dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di sini,” ujarnya.-MalaysiaGazette