Anggota penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan ke atas restoran yang didakwa menjual kailan ikan masin berharga RM18 di Pulau Pinang. Gambar ihsan: KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga sebuah restoran di Pulau Pinang yang menjual sebungkus kailan ikan masin pada harga RM18 telah diberikan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menerusi kenyataan ringkas KPDNHEP memaklumkan, pegawai penguat kuasa agensi itu sudah melakukan siasatan di restoran terbabit selepas memperoleh maklumat mengenai premis berkenaan.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP telah turun ke lapangan untuk menyiasat aduan pengguna berkaitan ‘harga terlalu mahal tidak setara kuantiti yang diberikan’ pada hari sama perkara ini tular.

“Satu NPMB bagi makanan kalian ikan masin berharga RM18 telah diberikan kepada peniaga berkenaan dan peniaga itu perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja,” katanya.

Sebelum ini, tular di laman-laman sosial satu hantaran berserta resit memaparkan harga keseluruhan makanan yang dimuat naik seorang pelanggan restoran.

Dalam hantaran itu, individu terbabit terkejut apabila sebungkus kailan ikan masin untuk seorang makan dijual pada harga RM18.

Berdasarkan pemerhatian pada resit yang dipaparkan keseluruhan harga makanan yang dibayar oleh individu berkenaan berjunlah RM122, namun tidak mendedahkan nama restoran berkenaan. – MalaysiaGazette