PN component parties GE15 PAS Bersatu Gerakan The Secretary-General of Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin at an exclusive interview at the MalaysiaGazette Studio in Melaka. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 09 NOVEMBER 2021.
Datuk Seri Hamzah Zainudin
ISKANDAR PUTERI – Lima lagi ibu pejabat polis daerah (IPD) sedang dibina di seluruh negara ketika ini dengan kos RM620 juta.

Ia dijangka siap pada tahun 2022 dan 2024, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurutnya, pembinaan IPD Muallim di Perak seperti contoh melibatkan kos RM85 juta dijadual siap pada 10 Julai tahun depan selain IPD Jeli, Kelantan (RM130.3 juta) dijangka siap pada 31 Ogos tahun depan.

Selain itu IPD Lawas, Sarawak (138.07 juta) dijadual siap pada 9 September tahun depan, IPD Hulu Terengganu, Terengganu (RM108.88 juta) dijadual siap pada 14 April 2024 manakala IPD Klang Utara, Selangor (RM159.3 juta) akan masuk tapak pada tahun depan.

“Semua IPD ini sedang dibina kecuali IPD Klang Utara. Selain lima IPD ini, satu lagi IPD akan dibina yang kini dalam proses dokumentasi iaitu IPD Belaga, Sarawak dengan kos RM90 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek (IPD) Iskandar Puteri di Kota Iskandar hari ini.

Dalam pada itu, jelas Hamzah, semua IPD berkenaan tidak mempunyai masalah seperti dihadapi IPD Iskandar Puteri yang mula dibangunkan pada 2014 tetapi mengalami kelewatan akibat masalah berkaitan kontraktor.

Pembinaan lima IPD baharu itu akan memberi keselesaan kepada anggota serta pegawai terlibat.

Ketika ini terdapat 157 IPD di seluruh negara dan hanya IPD Klang Utara yang masih menyewa.

Ketika ditanya berkenaan bangunan lama ibu pejabat polis kontinjen (IPK) di negeri, beliau berkata, pihaknya akan memberi perhatian terhadap bangunan IPK di Terengganu, Perak, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang.

Jelasnya, peruntukan untuk IPK tersebut masih belum ada namun keutamaan akan diberikan kepada IPK Pulau Pinang terlebih dahulu.

Sementara itu ketika berucap, Hamzah menegur Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya melantik syarikat kontraktor pembangunan yang benar-benar layak dan bukan lantikan akibat daripada tindakan melobi.

“Selaku menteri, saya mohon pada JKR kalau ada projek yang kita bangunkan bersama selepas ini tolong cari kontraktor yang benar-benar mampu, kita tidak mahu lagi masalah ini timbul di kemudian hari.

“Kami bersedia untuk siapa sahaja yang dilantik JKR tetapi biarlah dilakukan dengan prosedur sepatutnya dan tidak kerana lobi melobi. Akhirnya yang kuat melobi itu jadi penyebab masalah di kemudian hari,” katanya.-MalaysiaGazette