Polis menyerbu beberapa lokasi di SPT, SPU yang membawa kepada tangkapan sindiket penyeludupan migran.

KEPALA BATAS – Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan warga Myanmar yang didalangi empat individu dalam beberapa siri serbuan Ops Pintas di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) pada Sabtu lalu.

Mereka yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang wanita warga Myanmar itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. 

MalaysiaGazette difahamkan empat dalang yang tidak mempunyai ikatan persaudaraan  itu diberkas ketika menyeludup migran masuk ke negara ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi  Ra’ais berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 43 tahun hingga 66 tahun itu dipercayai bertanggungjawab membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan jalan darat menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah. 

Jelas beliau, hasil siasatan awal pihak polis mendapati setiap seorang PATI itu akan membayar RM4,000 hingga RM5,000 kepada dalang terbabit sebagai syarat untuk dibawa masuk ke Malaysia. 

“Selain itu, kita turut menahan 21 lelaki dan lima perempuan warga Myanmar berusia antara 20 hingga 35 tahun di premis kediaman yang dijadikan transit kepada PATI yang baru tiba di negara ini.

“Dalam serbuan sama, polis merampas empat buah kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

Tambah Rahimi, kesemua dalang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Kesalahan Penyeludupan Migran).

Manakala PATI yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (kesalahan tidak memiliki permit yang sah).

“Kesemua individu yang ditahan serta PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette