Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid hadir ke PPV bergerak rumah ke rumah di Papar.

KUALA LUMPUR – Masyarakat kampung dan pedalaman di sekitar daerah Papar, Sabah boleh menarik nafas lega dengan pengenalan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dari rumah ke rumah.

Inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu adalah bagi membantu masyarakat luar bandar untuk mendapatkan imunisasi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya telah memperuntukkan RM12 juta bagi menjayakan inisiatif itu bagi memastikan golongan yang tidak mempunyai keupayaan untuk ke PPV diberikan sedikit kemudahan dan keistimewaan.

“KPLB telah menyalurkan RM12 juta bagi tujuan ini antaranya menyediakan enam buah bas MARA Liner telah diubah suai menjadi PPV di mana setiap unit PPV mempunyai sembilan kaunter vaksinasi termasuk satu untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Operasi tersebut merangkumi kaunter pengesahan, pendaftaran, konsultasi, pemerhatian dan rawatan selaras dengan syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beroperasi selama 10 jam dengan anggaran maksima 800 orang penerima vaksin sehari,” katanya selepas menghadiri walkabout PPV Daerah Papar, hari ini.

Sehingga kini, tambah beliau, hampir 20,000 Orang Asli telah menerima suntikan vaksin menerusi program pemberian vaksin bergerak MARA Liner.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid hadir ke PPV bergerak rumah ke rumah di Papar

Selain itu, kata Mahdzir, pihaknya juga tampil menyediakan PPV bergerak di beberapa lokasi pedalaman di Sabah antaranya Beaufort, Tawau dan Kinabatangan.

“Selain itu, kita juga mempergiatkan usaha di Sarawak yang mana PPV Statik di Miri, dijangka akan mula beroperasi pada Disember 2021,” ujarnya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, beliau ke Papar bagi melihat sendiri PPV bergerak beroperasi bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan vaksin selain meningkatkan kadar pemberian vaksin di Sabah.

Katanya, program yang dikenali CSR Rapid Assessment Vaccination Operation (RAVO) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Papar itu akan memberi fokus dalam membantu memberi suntikan vaksin kepada masyarakat luar bandar di daerah Papar.

“Sebanyak tujuh unit pacuan empat roda dan satu unit van akan digerakkan ke 21 perkampungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis, Papar selama satu minggu bermula 1 Disember sehingga 7 Disember kelak.

“Kita sasar pemberian suntikan vaksin kepada 1,500 masyarakat di DUN tersebut. Kita juga telah sediakan lima buah kerusi roda untuk kegunaan penerima vaksin yang uzur di pusat vaksinasi PKD berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast