Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat sejumlah 4,068 laman pornografi sejak 2018 hingga 30 September tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, tindakan itu diambil sebagai usaha membendung kandungan lucah dan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada dilayari rakyat di negara ini.

Selain penyekatan akses kepada laman web berkenaan SKMM turut melakukan pendakwaan dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain bagi membuat, mewujudkan, meminta-minta dan memulakan penghantaran kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam, dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

“Jika disabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit (RM50,000) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli (Pas) yang meminta kementerian itu menyatakan langkah membendung adegan seksual dan kandungan berkaitan LGBT dalam program yang disiarkan menerusi perkhidmatan penstriman atas talian seperti Netflix.

Ketika mengulas mengenai penstriman atas talian, penarafan filem dan rancangan televisyen yang dilakukan oleh syarikat penyedia perkhidmatan penstriman video luar negara seperti Netflix Zahidi berkata, ia dijalankan secara kendiri dan ditetapkan oleh organisasi standard yang biasanya berada di bawah setiap peringkat kematangan berbeza mengikut mengikut wilayah, negara dan rantau.

Selain itu, katanya, Netflix turut menyediakan khidmat kawalan ibu bapa (parental control) bagi mengupayakan golongan ibu-bapa mahupun penjaga dalam mengawal selia penggunaan platform tersebut oleh anak-anak mereka.

“Ia berfungsi di mana sesetengah kandungan seperti filem yang ditarafkan sebagai ‘remaja’ dan ‘dewasa’ dapat disekat daripada ditonton dengan kata laluan yang ditetapkan oleh ibu bapa dan penjaga,” tambahnya. – MalaysiaGazette