Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sedia mengambil tanggungjawab sekiranya harga barang di pasaran tidak dapat distabilkan pada 9 Disember ini.

Menurutnya, apa yang berlaku ketika ini adalah sesuatu yang agak kompleks dan memerlukan penelitian daripada pelbagai sudut.

“Saya boleh bertanggungjawab, tak apa. Mungkin 9 Disember tak selesai sebab perkara ini agak kompleks.

“Kalau tak letak jawatan, dulu yang berhormat Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim ) pernah berkata, hari ini kita menang, esok (harga) minyak turun…pun tak turun.

“Iskandar Puteri (Lim Kit Siang) pun pernah kata, kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim tak jadi perdana menteri saya akan undur dia kata, jadi ini janji apa, kalau kita nak berpolitik tapi saya tak nak guna dewan ini untuk berpolitik…biar saya jawab apa yang ditanya oleh Bagan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Bagan (PH), Lim Guan Eng yang bertanya sama ada Alexander akan bertanggungjawab sekiranya harga barang dipasaran tidak dapat distabilkan pada 9 Disember ini.

Guan Eng memetik laporan daripada sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru-baru ini yang menyatakan Alexander didakwa berkata demikian.

Terdahulu ketika menjawab soalan Guan Eng pada sesi pertanyaan menteri, Alexander berkata, pihaknya akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia bermula Sabtu ini dengan menawarkan harga jualan 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Ujarnya, program jualan itu akan dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 222 kawasan Parlimen dengan kekerapan dua kali sebulan.

“Kerajaan akan memastikan harga jualan barangan yang ditawarkan adalah 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

“Kementerian sudah mendapat kerjasama agensi dan jabatan kerajaan lain bagi memastikan jualan barangan keperluan asas pengguna ini sampai kepada Keluarga Malaysia yang terkesan dengan kenaikan harga barangan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast