BRICK memudahkan pelanggan berurusan dalam talian..

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat meneruskan inisiatif transformasi digitalnya dengan melancarkan platform perbankan maya, “BRICK” atau ‘Bank Rakyat Quick’ sebagai saluran alternatif kepada pelanggan untuk mengakses produk perbankan runcitnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, hanya dengan mengimbas QR Code menerusi telefon pintar, pelanggan boleh mendapatkan maklumat berkaitan produk Bank dengan cepat dan mudah serta boleh membuat permohonan pembiayaan secara dalam talian.

Perkhidmatan ini disasarkan kepada pelanggan yang berhasrat untuk melanggan produk pembiayaannya, termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, perkhidmatan takaful atau memohon menjadi ahli Kelab Nuri.

Menurut Syed Abdul Aziz, Bank Rakyat mengambil langkah proaktif melalui pelancaran platform digital ini bagi membolehkan pelanggan mengakses maklumat dalam masa yang singkat, walaupun sibuk dengan urusan harian.

“Dengan hanya mengimbas kod BRICK, pelanggan boleh terus membuat permohonan pembiayaan yang bersesuaian serta mendapatkan maklumat berkaitan produk dan perkhidmatan yang disediakan.

“Selain itu, platform digital BRICK ini amat bersesuaian dengan kehendak situasi masa kini serta penerapan norma baharu apabila segalanya di hujung jari pelanggan tanpa perlu hadir secara fizikal. Berkonsepkan mesra pengguna, BRICK merupakan medium digital terkini bagi mendekati pelanggan di seluruh negara tanpa sempadan secara komprehensif, mudah dan cepat,” tambah beliau.

Pada Mac lalu, Bank Rakyat telah melancarkan perkhidmatan perbankan digital yang dikenali sebagai Quick Response to Entrepreneur (QR2E) bagi memudahkan golongan usahawan mendapatkan khidmat nasihat dari aspek kewangan pengurusan perniagaan dan permohonan pembiayaan.

Justeru, pelancaran BRICK melengkapkan kemudahan platform digital milik Bank Rakyat dalam usaha untuk membantu mencapai matlamat negara keusahawanan sepenuhnya menjelang tahun 2030 selaras dengan aspirasi membentuk ‘Keluarga Malaysia’ dan ‘Bangsa Usahawan’ yang makmur.

Platform perbankan pembiayaan digital khas ini juga diyakini dapat mengukuhkan peranan Bank Rakyat sebagai institusi perbankan Islam yang dinamik terhadap persekitaran ekosistem semasa bagi terus berdaya saing dan lestari.

Untuk maklumat lanjut berkenaan platform BRICK, sila layari laman sesawang www.bankrakyat.com.my . – MalaysiaGazette