Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,168 kes sembuh direkodkan pada dengan 4,879 kes positif harian Covid-19 dicatatkan pada hari ini.

Ia merupakan enam hari berturut-turut kes sembuh mengatasi kes positif harian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 2,537,204 kes.

“Bilangan kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah sebanyak 509 kes manakala sebanyak 252 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 4,879 kes positif harian yang dilaporkan pada hari ini 79 kes atau 1.6 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5.

“Manakala sebanyak 4,800 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, saripada 4,879 positif harian yang direkodkan, sebanyak 24 kes adalah import membabitkan 16 daripadanya warganegara manakala lapan adalah kes asing.

Sebanyak 4,855 kes adalah tempatan yang mana 4,678 daripadanya adalah warga tempatan sementara 177 kes adalah warga asing, ujarnya.

Sementara itu, menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak sembilan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) pada hari ini.

Katanya, sebanyak 231 kluster dilaporkan masih aktif di negara ini manakala 5,716 kluster telah ditamatkan. – MalaysiaGazette