Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.

JOHOR BAHRU –  Kerajaan negeri Johor memperuntukan RM1.5 juta bagi membantu operasi koperasi kecil dan mikro yang terjejas berikutan penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, peruntukan itu akan disalurkan menerusi geran permulaan modal bernilai RM5,000.

Kata beliau, sebanyak 170 koperasi dikenalpasti layak menerima geran di bawah Program Prijatin Koperasi itu dan keutamaan akan diberikan kepada koperasi yang mempunyai masalah aliran tunai kritikal.

“Sekiranya layak, setiap koperasi akan diberi geran bernilai RM5,000 untuk penyusunan semula,” katanya selepas merasmikan Anugerah Koperasi Terbaik Johor 2020 di Hotel Throve di sini, hari ini.

Mohd Izhar berkata, bantuan berkenaan juga disalurkan bagi membolehkan koperasi kecil dan mikro yang berpendapatan kurang RM1 juta bertahan.

Tambah beliau, pada tahun lalu sebanyak 1,456 koperasi di Johor mencatatkan kemerosotan pendapatan sebanyak 30 peratus dengan nilai keseluruhan berjumlah RM630 juta berbanding RM974 juta pada 2019.

“Untuk tahun ini, kita sedang mengumpul data keuntungan dan pendapatan koperasi seluruh Johor di mana sehingga Jun lalu, kita telah menyemak 60 peratus koperasi dan menjangkakan trend pendapatan meningkat hingga lima peratus,” ujarnya. -MalaysiaGazette