Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 ke hospital awam Sarawak menurun secara konsistem sejak pemberian dos penggalak mulai 13 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV), setakat 28 November lalu, Sarawak merupakan negeri yang mempunyai jumlah kumulatif dos penggalak paling tinggi di Malaysia dengan 630,251 dos.

Ia diikuti oleh Selangor di tempat kedua tertinggi dengan 411,126 dos dan Kuala Lumpur (236,024 dos), ujarnya.

“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan dos penggalak yang dapat melindungi individu dari jangkitan yang lebih teruk dan seterusnya menyumbang kepada penurunan kes-kes Covid-19 kategori 3 hingga 5,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr. Noor Hisham menambah, walaupun 77.7 peratus rakyat Malaysia telah lengkap divaksinasi, namun kajian terbaru mendapati tahap imuniti akan menurun selepas beberapa bulan menerima vaksin.

Oleh yang demikian, beliau menggesa individu yang layak dan telah mendapat tarikh janji temu dos penggalak vaksin Covid-19 untuk hadir bagi menerima suntikan tersebut.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, kadar penggunaan fasiliti kesihatan katil bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan katil Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 (PKRC) didapati menurun pada ME ke-47.

“Penggunaan katil bukan ICU di hospital telah mencatat penurunan sebanyak satu peratus manakala penggunaan katil di PKRC menurun sebanyak tiga peratus berbanding ME ke-46,” ujarnya. – MalaysiaGazette