Muhammad Hilman Idham

SHAH ALAM – Laungan ‘pengkhianat’ dihamburkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San kepada ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Ia ekoran Muhammad Hilman enggan memberi laluan kepada beberapa ADUN kerajaan untuk mencelah perbahasannya.

“Pengkhianat…pengkhianat… ada masa menabur fitnah, ada masa mengkhianat rakyat..(tapi) tak ada masa jawab soalan,” jerit Weng San.

Situasi itu menyebabkan ADUN Batang Kali, Harumanini Omar meminta Weng San jangan menganggunya dan Muhammad Hilman.

“Banting jangan kacau… saya orang pertama bangun nak tanya soalan…,” katanya.

Selepas itu, Timbalan Speaker, Hasnul Baharuddin meminta semua ADUN bertenang dan tidak mengganggu Muhammad Hilman menghabiskan perbahasan.

DUN Selangor kecoh dengan suara menyampuk Weng San serta ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat yang mahu minta penjelasan daripada Muhammad Hilman berhubung perbahasannya mengenai kerugian yang ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Muhammad Hilman meneruskan perbahasannya tanpa menghiraukan desakan dua ADUN kerajaan neegri yang minta mencelah untuk bertanya soalan berkaitan dakwaannya itu.

Dalam perbahasan itu, Muhammad Hilman menyatakan terkejutnya apabila dimaklumkan pada tahun 2020, PKNS telah mencatatkan kerugian sebelum cukai dan zakat sebanyak RM719.2 juta bagi tempoh berakhir 31 Disember 2020.

Katanya, dalam jawapan bertulis yang diterimanya, dinyatakan kerugian terbesar dalam sejarah PKNS itu disebabkan oleh rosot nilai pelaburan dalam anak-anak syarikat yang berjumlah RM636.6 juta.

“Amat tidak memadai kerajaan negeri atau PKNS memberi alasan rosot nilai disebabkan pasaran hartanah yang lemah.

“Sedangkan berdasarkan pencapaian kajian yang kita buat dalam banyak syarikat hartanah di bursa Malaysia sepanjang tahun 2018 hingga 2020, hampir kesemua syarikat hartanah mencapai keuntungan dan tidak mendapat rosot nilai sebagaimana direkodkan oleh PKNS.

“Saya yakin pastinya syarikat hartanah yang berjaya ini melaksanakan strategi korporat secara berhemah dan teratur,” katanya.

Weng San dan Elizabeth Wong ketika ini terus mengasak Muhammad Hilman supaya memberi laluan kepada mereka, tetapi tidak dipedulikan, dengan alasan beliau mempunyai masa agak terhad untuk menghabiskan perbahasannya.

Ketika ini, keluar dari mulut Weng San menuduh Muhammad Hilman sebagai pengkhianat, dipercayai merujuk kepada tindakan ADUN Gombak Setia itu menyertai ‘Langkah Sheraton”.

Muhammad Hilman turut menyindir Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang dikatakan acap turun ke Gombak Setia dipercayai ada kaitan untuk mengalahkannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ujar beliau, Menteri Besar itu telah menabur dua janji kepada rakyat dalam kawasannya iaitu menaik taraf Masjid Kampung Sungai Cincin dan pembinaan jambatan di Kampung Sungai Salak bernilai RM500,000.

“Namun, saya buat carian dalam buku belanjawan dan buku anggaran, saya tidak nampak ada peruntukan disediakan untuk dua projek yang dijanjikan ini,” sindirnya. – MalaysiaGazette