Lebih 50 buah bas penyokong JDT berkonvoi ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan KL City FC.

JOHOR BAHRU – Lebih 50 bas penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) berkonvoi menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan itu dengan Kuala Lumpur City FC (KL City), malam ini.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak JDT atau Johor Fans Club, Azman A. Jalil berkata, konvoi tersebut disertai persatuan penyokong JDT seperti Boys of Straits.

Tambahnya, mereka tidak melepaskan peluang untuk memberikan sokongan padu kepada JDT yang cuba mempertahankan gelaran juara itu.

“Walaupun aksi final diadakan pada hari bekerja, namun para penyokong setia JDT sanggup berkorban bagi memberikan sokongan tak berbelah bahagi kepada Skuad Harimau Selatan.

“Kami berharap JDT tidak berdepan masalah untuk muncul juara dan tidak pulang dengan tangan kosong. Apa-apa pun keputusannya, kami akan menjadi pemain ke-12 yang memberi sokongan kepada JDT,” katanya.

Katanya, aktiviti itu menjadi satu kemestian buat kelab penyokong tersebut setiap kali skuad Harimau Selatan berentap di pentas final.

“Peluang menyaksikan perlawanan akhir ini pastinya menjadi memori indah lebih-lebih lagi pada musim ini kebanyakan perlawanan dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong di stadium,” ujarnya. – MalaysiaGazette