Minuman sejuk mendapat permintaan yang tinggi di kedai-kedai makan.

KUALA LUMPUR – Susulan pendedahan seorang wakil rakyat PKR mengenai kenaikan harga ais, wartawan telah menghubungi syarikat bekalan ais berkenaan yang turut mengesahkan bahawa harga ais akan dinaikkan 50 sen sebungkus.

China Press melaporkan, syarikat itu akan menamatkan promosi untuk semua produk ais (ais kisar atau ais ketulan) bermula 1 Disember, sekali gus bermakna kenaikan harga sebanyak 50 sen sebungkus.

Jurucakap syarikat memberitahu, pihaknya tiada pilihan kerana kilang pengeluar ais telah menaikkan harga selain kenaikan kos penyelenggaraan lori, malahan beg plastik yang digunakan untuk membungkus ais turut mengalami kenaikan harga.

“Kami tidak mempunyai kilang sendiri tetapi mengambil ais dari pengilang dan membekalkannya kepada pembeli.

“Kos penyelenggaraan lori kami semakin tinggi dengan kenaikan harga tayar, alat ganti lori dan minyak diesel,” katanya kepada China Press.

Menurut jurucakap itu, harga ais yang dijual syarikatnya pada masa ini adalah dua ringgit lebih, tetapi akan melepasi RM3 selepas kenaikan harga.

“Harga kami sebenarnya masih murah berbanding syarikat lain yang menjual antara RM3.50 hingga RM4 sebungkus,” katanya.

Ujarnya, sebungkus ais yang berharga tiga ringgit lebih boleh membancuh puluhan gelas minuman, justeru kenaikan harga tersebut dianggap boleh diterima.

Menurutnya, disebabkan kadar keuntungan yang rendah, syarikat juga selalu berdepan masalah kekurangan pekerja kerana gagal menawarkan gaji yang berdaya saing. – MalaysiaGazette