Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad bercakap kepada media selepas menghantar para jemaah berlepas ke tanah suci untuk mengerjakan Umrah dalam penerbangan sulung Umrah Amal dari Kuala Lumpur ke Madinah (MH8216) ketika di Bangunan Terminal Utama, KLIA. Foto MOHD ADZLAN, 30 NOVEMBER 2021.

SEPANG – Menteri di Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menafikan berlaku pertindihan tugas antara beliau dan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Senator Dewan Negara itu berkata, bidang tugas penasihat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu nyata berbeza daripada tugasnya sebagai menteri.

Jelas Idris, beliau hanya menjalankan tugas-tugas pentadbiran bagi kerajaan dan bukannya penasihat Perdana Menteri.

“Tidak berlaku pertindihan (tugas antara Menteri Agama dengan Penasihat Agama Perdana Menteri).

“Penasihat agama ini mungkin ada bidang yang lain dan dia dilantik oleh Perdana Menteri sendiri,” katanya pada sidang media selepas melepaskan 228 jemaah Umrah Amal dari Kuala Lumpur ke Madinah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan Jamil Khir yang merupakan Pengerusi UMNO Kedah dilantik sebagai penasihat agama kepada Perdana Menteri.

Poster ucapan tahniah atas pelantikannya disiarkan di laman Facebook UMNO Kedah.

Mengulas lanjut, Idris yang juga Naib Presiden Pas itu berkata, pelantikan penasihat kepada Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang baharu.

“Sejak dulu lagi sudah ada,” katanya lagi.

Jamil Khir sebelum ini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam ketika era pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak. – Malaysiagazette