Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat dan mengambil tindakan berhubung isu peningkatan bayaran perubatan di hospital swasta.

Ia susulan aduan daripada pengguna mengenai premium insurans kesihatan yang melambung tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, berdasarkan laporan tahunan Bank Negara (BNM) pada tahun 2019 mendapati tuntutan insurans kesihatan perubatan (MHI) berkembang 11.6 peratus setahun antara 2016 dan 2019, sekali gus menunjukkan peningkatan tuntutan terus mendahului peningkatan dalam premium yang berkembang secara purata 9.5 peratus setahun.

Jelas beliau, kos penjagaan kesihatan swasta merupakan salah satu alasan utama bagi peningkatan premium insurans kesihatan.

“Tinjauan global mengenai trend perubatan pada 2019, Malaysia berada di peringkat antara yang tertinggi di Asia Tenggara dalam bentuk kos perubatan.

“Berdasarkan laporan media, 80 peratus orang ramai mendapatkan rawatan di kemudahan perubatan awam manakala bilangan pesakit yang pergi ke hospital swasta telah jatuh kepada 70 hingga 80 peratus pada tahun lepas.

“Kita bimbang jika isu ini tidak diambil perhatian boleh menyebabkan orang ramai tidak mampu membayar insurans kesihatan dan pemegang polisi sedia ada dan mungkin membiarkan polisi mereka luput,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohideen, pihaknya percaya peningkatan kos rawatan di hospital swasta berpunca daripada tindakan mempromosikan pelancongan perubatan.

Kata beliau, keutamaan perlu diberikan untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan awam kita dan tidak membantu hospital swasta memaksimumkan keuntungan mereka melalui merawat pelancong perubatan asing.

“Menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik adalah kewajipan bagi kerajaan dalam memenuhi hak asas rakyat terhadap kehidupan.    

“Sehubungan itu, kami menggesa KKM supaya menangani isu ini dengan menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi perwakilan daripada profesion perubatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta KKM sendiri untuk mengkaji dan membuat saranan bagi memperkenalkan sistem penjagaan kesihatan sejagat di Malaysia,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette