Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases recoveries
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kadar sembuh akibat jangkitan Covid-19 setakat pukul 12 tengahari ini terus menunjukkan kenaikan iaitu sebanyak 6,803 kes direkodkan.

Ia sekali gus menjadikan sebanyak 2,544,007 kes kumulatif sembuh direkodkan setakat ini dalam negara, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia juga menyaksikan kes sembuh harian secara konsisten melebihi kes harian positif untuk hari ketujuh berturut-turut iaitu sejak 25 November lalu walaupun kes positif melonjak ke paras 5,439 kes hari ini selepas kekal sekitar lebih 4,000 sahaja sejak empat hari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes yang yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi sebanyak 500 kes manakala sebanyak 258 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 5,439 kes positif yang dilaporkan – 21 kes import  membabitkan 15 warganegara dan enam lagi bukan warganegara.

“Kes tempatan pula adalah sebanyak 5,418 kes iaitu 5,229 atau 96.5 peratus merupakan warga tempatan manakala 189 atau 3.5 peratus adalah warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, daripada kes positif harian hari ini juga, sebanyak 105 kes atau 1.9 peratus merupakan kategori 3, 4, dan 5.

“Manakala 5,334 kes atau 98.1 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” ujarnya.

Dalam perkembangan membabitkan kluster Covid-19, katanya, sebanyak enam lagi kluster baharu jangkitan dikesan di dalam negara setakat 24 jam lalu.

“Manakala sebanyak 226 kluster pula dikenal pasti masih aktif di negara ini sementara sebanyak 5,727 kluster pula telah ditamatkan,” tegasnya.-MalaysiaGazette