KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menggiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Terengganu dengan tumpuan diberikan kepada Taman Biopolimer Kerteh (KBP), salah sebuah taman
perindustrian paling berjaya dibangunkan.

KBP, hab bioekonomi dan bahan kimia khusus Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang meliputi kawasan seluas 140 hektar, telah menarik pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM5.2 bilion setakat ini dengan kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2 telah diduduki sepenuhnya, manakala Fasa 3 telah dibina dan siap tahun lepas.

Kompleks PKS KBP juga menerima sambutan yang menggalakkan walaupun siap ketika pandemik.

Sebanyak 98% daripada lot yang ada telah diduduki majoritinya oleh syarikat-syarikat Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang memberi sokongan kepada Petronas dan syarikat-syarikat petrokimia lain di wilayah ini.

ECERDC turut menyasarkan pertumbuhan dalam industri petrokimia khusus dan kini sedang membangunkan Fasa 4 yang terdiri daripada kawasan tambahan seluas 397 ekar bagi menampung pertumbuhan akan datang untuk para pelabur menjelang pertengahan tahun 2025.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER berkata, ECERDC akan memperhebatkan kegiatan mempromosikan pelaburan ke Terengganu dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan dan negeri untuk menarik pelaburan baharu serta memastikan pelaburan dapat direalisasikan terutamanya di KBP.

Baru-baru ini, KBP telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM220 juta daripada Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu.

Pelaburan ini dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal,” kata Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Sehingga 15 November 2021, Terengganu telah menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion menerusi ECERDC bagi tahun 2021.
Pelaburan ini akan mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan 600 peluang keusahawanan. – MalaysiaGazette