Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus menjadi bualan apabila video pantunnya berkenaan kekalahan pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi tujuh saat itu, Muhammad Sanusi secara seloroh berpantun mengenai piala Malaysia.

Dari Kedah ke Singapura
Singgah di KL membeli gula,
Saya membawa khabar gembira,
JDT kalah lawan bola.

Pantun tersebut mendapat tepukan gemuruh tetamu yang hadir pada Majlis Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Besar Kedah beserta Delegasi Kerajaan Negeri Kedah (MESRA ’21).

Video tersebut telah disunting dan dimuat naik pelayar @leebard2701 di laman Tiktok mendapat lebih 12,300 tanda suka dan lebih 5,000 perkongsian.

Sementara itu, majlis MESRA’21 disiarkan secara langsung dan dikongsi di Faceook Muhammad Sanusi.

Menerusi ucaptamanya, beliau sempat berkata, kekalahan JDT adalah kesenangan ramai pihak.

“Kan semua orangh seronok JDT kalah, kalau JDT menang orang tak hairan pun, kan,” ujarnya.

Pada perlawanan final Piala Malaysia edisi ke-100 malam tadi, JDT tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur, KL City FC, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi 2019.

Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah dilihat ‘berperang’ di media sosial bersama pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada aksi suku akhir, pasukan Kedah kalah pada dengan JDT. -MalaysiaGazette