Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Kelantan tidak perlu bising dengan isu royalti minyak, kerana sebahagian pemimpinnya berada dalam Kabinet kerajaan Persekutuan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, ini berbeza ketika Pas berada di luar kerajaan Persekutuan di zaman Pakatan Harapan (PH), negeri itu menerima royalti berjumlah kira-kira RM400 juta.

Katanya, sebahagian duit itu kemudian digunakan untuk menukar kereta menteri besar, timbalan menteri besar dan anggota Exco kepada yang lebih canggih, sedangkan rakyat tidak mendapat apa-apa manfaat.

“Sekarang mereka bising tuntut royalti minyak. Bukankah mereka berada dalam kerajaan pusat. Kenapa perkara itu tidak boleh diselesaikan di peringkat mereka bersama Kabinet kerajaan?

“Ketika kerajaan negeri dapat RM400 juta beberapa tahun lalu, bagaimanakah kesannya kepada ekonomi rakyat Kelantan? Masalah bekalan air tetap membelenggu rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub yang meminta penjelasan daripada kerajaan Persekutuan berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengenai pembayaran royalti petroleum.

Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius jawapan bertulis dalam persidangan Dewan Rakyat yang dilihat tidak selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Untuk rekod kerajaan Persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 memutuskan, kerajaan akan memansuhkan Program Wang Ehsan dan memutuskan bayaran tunai petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Menurut Dr. Ibrahim, isu royalti minyak untuk Kelantan ini umpama cerita wayang kulit dalam siri ‘Raja Serama kena tipu’.

Katanya, berdasarkan perjanjian yang ditandatangani sebelum ini, negeri-negeri termasuk Kelantan berhak menerima royalti lima peratus dan jika dihitung pusat mempunyai tunggakan berjumlah kira-kira RM20 bilion yang perlu dijelaskan kepada Negeri Serambi Mekah itu.

“Sebagai anak jati kelantan dan mantan Ahli Parlimen Pasir Mas, sudah berulang kali juga saya menyuarakan hak royalti minyak untuk kelantan ketika perbahasan di Parlimen sebelum ini.

“Namun, politik Malaysia tidak menjurus kepada kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Laungan perjuangan untuk rakyat hanya retorik dan slogan semata-mata untuk meraih sokongan pada pilihan raya.

“Bagaimanapun, jika royalti ini diberikan, saya bimbang apakah ianya akan diurus dengan telus dan rakyat benar-benar mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan”,” soal beliau.

Katanya, Kelantan memerlukan kepimpinan dan kerajaan yang dinamik, progresif, bersih, beramanah dan berintegriti dalam semua aspek sekiranya mahu melihat kehidupan rakyat sejahtera dan harmoni.

Ujar beliau, selagi Kelantan diperintah oleh Pas, yang mana rekod pentadbiran selama lebih 30 tahun telah membuktikan kegagalan.

“Terlalu banyak untuk saya senaraikan siri penderitaan rakyat Kelantan yang dihimpit dengan pelbagai masalah dan isu, dari air kepada isu cukai, pengangguran dan kemelesetan ekonomi.

“Apapun, saya tetap bersama rakyat kelantan menuntut hak royalti dan rakyat Kelantan mesti bangkit menuntut hak ini bersama pemimpin yang lebih baik dan benar-benar berjiwa rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Keluarga Malaysia hari ini hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen termasuk sokongan daripada Pas 18 orang, menjadikan majoritinya hanya tiga.

Tetapi, katanya, tidak adakah cadangan daripada Pas untuk menarik sokongan terhadap Keluarga Malaysia itu, sekiranya Kelantan tidak diberi royalti?

“Jika Pas tarik sokongan, kerajaan Keluarga Malaysia akan tumbang dan Pilihan Raya Umum ke-15 boleh diadakan dengan segera.

“Ini juga yang dihajati oleh Barisan Nasional (BN) selepas parti itu menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette