Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) hadir memberi sokongan kepada calon DUN Pemanis, Dr. Arvind di bilik gerakan PN di sini

SEGAMAT – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yakin calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Pemanis, Dr. Arvind, mampu memberi saingan sengit dalam pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya P.Punithan berkata, keyakinan itu bukan dibuat atas sentimen semata-mata, sebaliknya berdasarkan kredibiliti calon, kekuatan jentera gabungan serta penerimaan positif daripada pengundi sepanjang tempoh berkempen.

Menurut beliau, Dr. Arvind yang juga seorang doktor berusia 42 tahun mempunyai latar belakang profesional dan imej yang diyakini mampu menarik sokongan pelbagai lapisan masyarakat.

Dr. Ariventharan Anandan bersama P.Punithan

“Dr. Arvind bukan calon tangkap muat. Beliau mempunyai kelayakan, pengalaman dan semangat untuk berkhidmat kepada rakyat. Kami percaya beliau mampu memberi tentangan hebat di Pemanis.

“Sebagai anak jati Johor yang membesar dan berkhidmat di Johor hingga kini, beliau mampu menjaga rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perkara sama turut diterapkan kepada empat lagi calon MIPP yang bertanding di Paloh, Permas, Bukit Permai dan Kota Iskandar.

Katanya, semua calon dipilih selepas melalui penelitian rapi dan bukannya sekadar melengkapkan senarai pertandingan.

“Kesemua calon kami berusia antara 27 hingga 41 tahun, selari dengan identiti MIPP sebagai parti yang majoriti ahlinya terdiri daripada golongan muda di bawah usia 45 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemilihan lima kerusi berkenaan dibuat berdasarkan analisis kekuatan jentera dan potensi kemenangan, selain hasil kerjasama erat bersama parti-parti dalam gabungan PN.

Menurutnya, walaupun Johor tidak mempunyai kerusi majoriti pengundi India, kerjasama dengan Pas, Bersatu dan Pejuang membolehkan MIPP mendekati pengundi daripada semua kaum.

“MIPP bukan hanya bekerja untuk calon sendiri. Jentera kami turut membantu calon-calon PN di seluruh Johor kerana matlamat utama kami ialah memastikan Perikatan Nasional memperoleh kemenangan,” katanya.

Kali ini DUN Pemanis menyaksikan saingan tiga penjuru antara penyadangnya, calon Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan serta Calon PH, Jalex Lee En Xiang.

Pada PRN Johor 2022, calon BN, Anuar Abd. Manap menang dengan 8,678 undi (50.33%) dan majoriti 4,187 undi.

Calon PKR, Yoong Thau memperoleh 4,491 undi (26.05%), diikuti calon PN, Uzzair Ismail 3,825 undi (22.19%), manakala calon Pejuang, Azita Amrin hanya mendapat 247 undi (1.43%) di DUN Pemanis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast