Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2021 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 01 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham (Pakatan Harapan) yang menyalahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) lewat membawa masuk pekerja asing hingga mengakibatkan harga barang asas naik.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, tugas membawa masuk pekerja asing tidak boleh dilakukan secara semberono sebaliknya memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang teliti bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19 di dalam negara.

Menurut Hamzah, membawa masuk pekerja asing ke dalam negara dalam waktu pandemik ini perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan nyawa rakyat Malaysia tidak tergadai.

“Kita nak menjaga keselamatan bukan hanya dari segi perundangan mengikut pasport sahaja, ia juga membabitkan dari segi keselamatan kesihatan yang perlu kita jaga. Jadi sebab itu apa pun yang kita nak buat, kita kena ada kepastian.

“Betul kita nak bantu dari segi ekonomi tetapi apa akan jadi kalau minggu depan, varian baharu yang belum kita pastikan, tiba-tiba dibawa dari orang luar (pekerja asing), siapa nak disalahkan, apakah kita nak salah Ahli Parlimen Beruas yang memperjuangkan supaya orang luar masuk? Atau saya yang akan dipersalahkan nanti?

“Sebab itu kita kena ada perancangan jelas. Kalau kita lihat semua yang mahu dibawa masuk dapat vaksin, cukup prosedurnya. Nak bawa masuk pun kena asingkan, perlu persediaan yang rapi,” katanya ketika sidang media, selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2021, hari ini.

Katanya, langkah membawa masuk ribuan pekerja asing untuk menangani kekurangan tenaga pekerja dalam sektor tertentu memerlukan masa.

“Pemilihan mereka yang kita nak bawa masuk pun kena dikenal pasti, dari kawasan merah (jangkitan Covid-19).

“Semua ini perlukan masa. Sebab itu kita kena berhati-hati kerana saya, menteri-menteri lain yang terbabit dalam isu ini sayangkan rakyat Malaysia lebih daripada Ahli Parlimen Beruas,” tambah Hamzah.

Semalam, Ngeh mendakwa kenaikan harga kebanyakan barangan berpunca daripada dua kementerian yang tidak dapat mencapai keputusan dalam menangani kekurangan tenaga kerja.

Dakwa Ngeh,  Hamzah dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan sering berdolak-dalik mengenai isu kemasukan pekerja asing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast