Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki warga yang disyaki terlibat menyimbah cat merah untuk menuntut hutang ah long di sebuah rumah sewa di Taman Medan, Petaling Jaya PADA 23 November lalu

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu daripada seorang lelaki berusia 35 tahun pada 20 November lalu.

“Selain itu, terdapat satu nota berbaur ugutan yang ditinggalkan suspek menakutkan mangsa supaya membayar hutang jika tidak mahu rumahnya dibakar.

“Dalam nota itu turut dikesan mengandungi nama dan nombor kad pengenalan milik seorang lelaki warganegara tempatan yang berumur 28 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas laporan polis itu, Mohamad Fakhrudin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya telah membuat satu serbuan di kawasan tempat letak kenderaan dan di sebuah kediaman di kawasan Cheras, Kuala Lumpur pada jam antara 9.30 malam hingga 11 malam 23 November lalu.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya menahan tiga suspek lelaki berumur lingkungan 21 tahun dan pemeriksaan lanjut di tempat tinggal mereka membawa kepada merampas empat buah telefon bimbit.

Jelasnya, semakan rekod jenayah lampau mendapati ketiga-tiga suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Siasatan awal polis mendapati suspek mengaku telah terlibat dalam jenayah kes simbah cat dan ugutan bakar rumah yang dilaporkan oleh pengadu.

“Suspek juga mendedahkan telah mendapat pekerjaan tugas jenayah (simbah cat dan mengugut bakar rumah) tersebut melalui iklan di laman sosial Facebook,” ujarnya.

Kata Mohamad Fakhrudin, setelah berhubung dengan seorang lelaki warganegara tempatan melalui aplikasi media sosial, suspek telah diarahkan menyimbah cat ke alamat rumah yang diberikan.

Jelasnya lagi, ketiga-tiga suspek terbabit telah diupah sebanyak RM500 selepas menghantar rakaman video rumah mangsa disimbah cat.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek telah ditahan reman selama tiga hari dan keterangan mereka dirakam sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Menurut Mohamad Fakhrudin, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette