Telefon bimbit, komputer riba, kenderaan, jam tangan, beg sandang, wang tunai merupakan antara barangan yang dirampas polis. Gambar Ihsan Polis PJ

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki pada Rabu lalu kerana disyaki menyamun seorang warga emas di rumahnya di Kelana Jaya, di sini.

Mereka ditahan di kawasan tempat letak kenderaan sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada pada 19 November lalu daripada anak lelaki mangsa yang berumur 39 tahun.

Katanya, pengadu dalam laporannya mendakwa keladian berlaku apabila bapanya yang berusia 82 tahun bersendirian di rumah, mendengar ketukan pintu rumah pada jam 12.00 tengah hari.

“Mangsa telah membuka pintu dan mendapati dua lelaki dipercayai warganegara tempatan telah berada di hadapan pintu dan terus menolak mangsa sehingga jatuh.

“Suspek telah masuk ke dalam rumah dan terus menyelongkar barang-barang di dalam rumah sebelum suspek terus melarikan diri dengan membawa barangan berharga milik pengadu dan mangsa” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM3,000 bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan insiden samun berkumpulan itu.

“Bertindak atas maklumat dan laporan pengadu, pada 24 November lalu jam lebih kurang 4.00 petang, sepasukan polis dari Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya telah membuat serbuan ke atas sebuah kenderaan yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut berjaya membawa kepada penahanan tiga suspek lelaki warganegara tempatan yang berusia lingkungan 38 hingga 48 tahun,” ujarnya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, serbuan tersebut membawa kepada rampasan telefon bimbit, komputer riba, kenderaan, jam tangan, beg sandang, wang tunai dan barangan yang dipercayai hasil kegiatan jenayah samun.

Katanya, semakan mendapati suspek pertama yang berumur 38 tahun mempunyai enam rekod jenayah lampau bersabit kes jenayah dan dadah sejak tahun 2008 hingga tahun 2018 sementara suspek kedua yang berumur 46 tahun mempunyai 15 rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah yang sama pada 1995 hingga 2021.

“Manakala suspek ketiga pula berumur 48 tahun dan mempunyai sebanyak 21 rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah sejak tahun 1992 hingga tahun 2021.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes yang dilaporkan oleh pengadu, selain itu, suspek turut mendedahkan penglibatan di dalam lain-lain kes samun di sekitar daerah tersebut dan juga Subang Jaya.

“Penahanan terhadap ketiga-tiga suspek ini telah berjaya membantu polis menyelesaikan tujuh kes samun dalam daerah Petaling Jaya dan ketiga-tiga suspek telah ditahan reman selama tujuh tujuh hari,” jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan rompakan berkumpulan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan dengan sebatan. – MalaysiaGazette