M. Saravanan

PUTRAJAYA – Majikan sektor swasta digalakkan memberi cuti am bergaji kepada pekerja susulan pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan di seluruh Wilayah Persekutuan esok, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata saranan itu dibuat memandangkan Hari Kelepasan Am Tambahan yang diisytiharkan itu bukan merupakan hari kelepasan am bergaji yang wajib diberikan menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955 [Akta 265].

“Susulan pengisytiharan hari pelepasan am tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada hari Jumaat, para majikan di sektor swasta adalah digalakkan untuk memberikan cuti am bergaji kepada pekerja-pekerjanya di tiga Wilayah Persekutuan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengumumkan Jumaat (3 Dis) sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan di seluruh Wilayah Persekutuan susulan kejayaan pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

Shahidan berkata pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan itu dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Wilayah Persekutuan.

Pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas 0-2 di tangan KL City FC, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi Harimau Selatan itu pada 2019.

— BERNAMA